Usul PM Tamatkan Speaker Tak Ikut ‘Rule Of Law’? … Pemimpin PH Jangan Hanya Pandai Bercakap

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan bekas Menteri Undang-undang Pakatan Harapan (PH), Liew Vui Keong yang berkata usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin Dewan Rakyat untuk menamatkan lantikan Speaker Dewan Rakyat dan Timbalan Speakernya tidak ikut ‘rule of law’.

Katanya, ada dua persoalan mengenai usul yang telah dikemukakan oleh Muhyiddin untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming.

“Pertama, adakah mereka enggan meletak jawatan secara sukarela? Kedua, apakah wujud konspirasi untuk mensabotaj Parlimen?” soalnya melalui kenyataan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Bidasnya, memang pelik, kedua-duanya masih Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat sedangkan secara moral mereka patut letak jawatan kerana mereka lantikan PH.

“Minggu pertama PH memerintah, Tan Sri Raus Sharif (Ketua Hakim), Tan Sri Zulkifli Makinudin (Presiden Mahkamah Rayuan) dan Tan Sri Apandi Ali (AG) diarah berhenti segera, manakala Tan Sri Dzulkifli (SPRM) berhenti sebelum diarah.

“Ketika itu ramai pihak mempersoalkan tindakan Mahathir dan Daim memanggil Tun Raus mengadap dan diarahkan berhenti. Tun Raus Ketua Hakim Negara. Dia boleh menolak untuk jumpa.”

Ujarnya, pengamal undang-undang Ram Karpal Singh menganggap tindakan Tun M dan Tun Daim itu melanggar ‘rule of law’ dan pengasingan kuasa kerana Eksekutif tidak boleh mencampuri urusan ‘Judiciary’.

“Pada beliau Tun Daim khususnya sudah melampaui batas. Perlembagaan Malaysia cukup jelas menyatakan bagaimana Ketua Hakim Negara boleh diberhentikan.

“Artikel 125 (3) Perlembagaan Negara menyatakan sebuah Tribunal mesti dibentuk untuk memberhentikan Ketua Hakim Negara.”

Justeru, katanya, Liew Vui Keong sepatutnya jangan hanya pandai bercakap soal doktrin pengasingan kuasa antara Eksekutif, Kehakiman dan Lagislatif (Parlimen).

“Dia patut tidak lupa apa yang PH lakukan terhadap Tun Raus. Kalau diikutkan cara Tun M terhadap Tun Raus maka Hamid Bador (PDRM), Azhar Azizan Harun (SPR) dan Gopal Seri Ram sudah lama meletak jawatan.

“Ini bukan soal zalim. Merekalah yang enggan meletak jawatan sebenarnya yang zalim. Parlimen sudah tentu jadi sarkas bila usul ini dibentangkan nanti sepertimana kecohnya negara bila Tribunal pemecatan Tun Salleh Abas diwujudkan dulu.”

Pokoknya, tegas beliau, kita tidak mahu wujud kumpulan yang boleh dipergunakan untuk mensabotaj negara atau menjadi tali barut Mahathir.

“Pengalaman sudah ada. Najib mahu ditangkap di pejabatnya kerana adanya konspirasi dari dalam yang didalangi Mahathir,” jelasnya lagi.

Terdahulu dilaporkan timbalan speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengesahkan Muhyiddin telah mengemukakan usul untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Mohd Yusof dan dirinya. – UMNO Online

Oleh: Farhana Malek

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.