Hina Jata Negara: Ambil Tindakan Segera Dan Tegas – Noraini Ahmad


KUALA LUMPUR, 29 Jun – Wanita UMNO Malaysia mendesak agar Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan segera dan tegas berharap individu yang mengubahsuai lambang Jata Negara kerana ia telah menghina bukan sahaja lambang rasmi kedaulatan Malaysia tetapi negara Malaysia ini sendiri.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, selain boleh menggunakan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 3 tahun dan denda sehingga RM20,000, Akta Hasutan juga boleh dikenakan kerana ia secara terang-terangan mahu menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong malah ia juga seakan mahu menyebarkan kebencian antara kaum dan agama.

“Ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab maka Wanita UMNO juga mendesak pihak kerajaan mengharamkan dan merampas buku ini dari dijual di mana-mana kedai buku. Sekiranya buku ini berjaya diedarkan, maka Wanita UMNO bimbang akan ada individu yang bakal terpengaruh sekaligus memberi impak negatif kepada generasi muda khususnya.

“Perkara ini amat serius dan tidak boleh dipandang ringan maka sekali lagi Wanita UMNO mendesak pihak berwajib mengambil tindakan segera,” tegas beliau menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Untuk rekod, pelbagai pihak telah tampil menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan malah laporan polis juga telah dibuat.

Buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” (ISBN : 9789672165811) disunting oleh penulis, Kean Wong yang mana mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.