PRK Chini: Tiada Siapa Boleh Tentukan Di Mana Seseorang Itu Patut Dilahirkan – Shahrir

PEKAN, 28 Jun – Ketua UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, tidak ada sesiapa pun yang boleh menentukan di mana dia dilahirkan kerana itu adalah ketentuan Ilahi.

Namun apa yang utama jelas beliau, adalah di mana seseorang Itu dibesarkan dan dunia politiknya berkembang.

“Saya sendiri ‘IC’ 06 lahir di Kuantan. Secara takdirnya jadi Ahli Parlimen Johor Bahru. Sudah pasti pada awalnya ada yang menyebut bagaimana orang Pahang boleh jadi Ahli Parlimen Johor Bahru… kita ini tidak boleh memilih tempat untuk kita dilahirkan dan ia tidak bermakna saya lahir di Pahang saya hilang sifat sebagai orang Johor. Akhirnya banyak perkara yang bukan kita tentukan tambahan lagi ia takdir dan kuasa Ilahi.

“Ia bergantung di mana pula kita membesar baik dari segi politik atau sebahagian besar hidup kita,” ujar beliau ketika berucap pada program Ceramah Muafakat Demi Kestabilan – Pemimpin Bersama Rakyat di Bandar Dara, Chini malam tadi.

Shahril berkata demikian mengulas isu yang dimainkan oleh pihak lawan di PRK Chini ini yang mengatakan calon Barisan Nasional (BN) bukan anak tempatan.

Dalam ucapannya Shahril turut menyarankan agar warga Felda jangan sesekali melupakan apa yang dialami oleh masyarakat Felda sepanjang 22 bulan (Pakatan Harapan) PH memerintah berbanding di zaman BN.

“Harga bahan mentah dan hasil dari kebun peneroka jatuh. Kalau harga sawit rendah tentu kesannya terus kepada peneroka. Sebab itu isu utama yang harus diingat adalah kita mahu Felda di bawah PH atau semasa BN?

“Sebab itu juga saya pernah berbanding sebagai Bebas. Orang Kata Shahril dengan Mahathir memang tidak ‘ngam’ tapi ini bukan atas sebab peribadi.

“Soal Felda contohnya, ia merupakan satu-satunya yang telah ditinggallan oleh Allahyarham Tun Abd Razak. Dibina Felda daripada mula dengan Felda Lurah Bilut sebagai cara untuk memberi tanah kepada rakyat dan juga atas faktor keselamatan ketika Itu kerana komunis ramai,” jelas beliau.

Bercerita lebih lanjut Shahril berkata, apa yang dilakukan oleh Tun Abdul Razak dan pejuang dahulu bukan hanya untuk tentukan negar selamat tetapi untuk negara boleh membangun secara serentak di bandar dan luar bandar.

“Sebab itu perbezaan di bawah Tun Abdul Razak dengan Tun Mahathir amat ketara. Tun membina kemajuan hanya dibandar, dengan bangunan tinggi, dengan orang kaya supaya ada limpahan kemewahan turun ke bawah. Inilah teori pembangunan geo liberal, tertumpu kepada golongan kaya, bukan kemewahan yang berlaku dari bawah ke atas.

“Inilah perbezaan membuatkan saya menentang cara dan pemikiran Tun Mahathir,” jelas beliau. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.