PM Gesa PBT, Agensi Kerajaan Proaktif Turun Lapangan Bantu Peniaga Terkesan COVID-19

MUAR, 28 Jun – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan supaya lebih proaktif turun ke lapangan bertemu dengan peniaga bagi mengambil tahu masalah mereka.

Beliau berkata langkah ini harus dilakukan bagi membantu mereka memulakan semula perniagaan setelah terkesan akibat penularan COVID-19.

“Dalam hal ini, pendekatan yang berbeza perlu dilakukan agar usaha kerajaan bagi menjana semula ekonomi negara berjaya dilaksanakan.

“Jika sebelum ini, peniaga dan pengusaha yang perlu merujuk kepada majlis daerah, PBT atau dewan-dewan perniagaan, kini pihak-pihak berkuasa dan agensi kerajaan pula perlu ke lapangan bertemu dengan peniaga untuk mengambil tahu masalah mereka. 

“Ini juga adalah sebahagian daripada kebiasaan baharu yang mesti dibiasakan dalam cara kita bekerja,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas beliau menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Wakil Peniaga dan Industri Daerah Muar di Pejabat Daerah Muar di sini.     

Perdana Menteri menegaskan Malaysia tidak seharusnya terkebelakang berbanding negara-negara lain dalam fasa pemulihan ekonomi, terutama apabila menjadi antara negara yang diiktiraf terbaik dalam mengawal penularan wabak COVID-19. 

Menurutnya atas kesedaran itulah, kerajaan telah mengambil keputusan yang tegas dan berani untuk membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat bagi memastikan semua perniagaan atau industri boleh memulakan semula aktiviti, sekali gus memulihkan perniagaan mereka.

“Saya memperingatkan, jangan ada apa pun sekatan atau halangan tidak perlu bagi perniagaan-perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula daripada menjalankan urusan perniagaan mereka. 

“Kita mesti permudahkan urusan mereka. Sekiranya mereka tidak punyai lesen, permudahkan urusan permohonan dan percepatkan proses memberi kelulusan kepada mereka,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.            
Muhyiddin berkata sektor ekonomi di kebanyakan negara terjejas teruk akibat penularan wabak COVID-19 dan Malaysia juga adalah antara negara yang tidak terkecuali menerima tempiasnya.

 
Terdahulu, sesi perjumpaan yang berlangsung hampir dua jam secara tertutup itu memberikan peluang kepada Perdana Menteri untuk berdialog dengan 37 wakil persatuan peniaga serta industri dalam daerah Muar di Pejabat Daerah Muar.

Persatuan itu adalah dari kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS), penternak, perusahaan perabot, pengusaha bas, peniaga pasar malam dan pasar awam, pusat jagaan orang tua, di samping persatuan kontraktor dan wakil Dewan Perniagaan India Muar.

Perjumpaan juga dihadiri oleh wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Unit LAKSANA Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Perjumpaan ini adalah penting kerana mengambil kira Muar sebagai Bandar Perabot Malaysia yang mempunyai keluasan kawasan industri seluas kira-kira 400 hektar di Bakri. 

Selain itu, ia mengambil faktor Muar terkenal dengan tarikan sajian makanan dan tempat pelancongan tempatan.- BERNAMA 

       

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.