Sharim Mahu Jadi ‘Jambatan’ Golongan Lama, Muda Imbangi Aspek Kebajikan Di DUN Chini

PEKAN, 26 Jun – Menjadi ‘jambatan’ antara golongan lama dan muda di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini bagi mengimbangi kepentingan hal-hal kebajikan dua golongan itu menjadi antara matlamat utama Mohd Sharim Md Zain untuk berbakti kepada penduduk di DUN ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini itu sejak sekian lama terlibat aktif dalam isu kebajikan penduduk di DUN berkenaan dan di kawasan Parlimen Pekan, sebelum ini lebih banyak di peringkat belia tetapi kini mahu berperanan dengan lebih berkesan sebagai wakil rakyat untuk semua golongan.

Mohd Sharim, yang juga generasi kedua Felda Chini 3, berkata segala permasalahan membabitkan penduduk tempatan telah dan sedang dikenalpasti dan beliau yakin segala permasalahan itu mampu diselesaikan.

“Kita sedang kenalpasti (isu membabitkan penduduk setempat). Saya akan cuba untuk menjadi ‘jambatan’ – antara golongan lama dan muda – dalam usaha menjaga kebajikan, soal perumahan, soal kos sara hidup… bagi imbangi dua permasalahan kelompok ini,” katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Selain itu, beliau juga akan menghantar kaji selidik untuk mendapatkan pandangan dan daripada idea itu, tindakan sewajarnya boleh diambil.

Mohd Sharim, 41, berkata selain isu membabitkan kawasan Felda yang melibatkan kira-kira 82 peratus penduduk di DUN ini, tumpuan juga perlu diberikan kepada kebajikan penduduk di kampung tradisional dan kampung Orang Asli.

“Di kawasan Felda, isu berkaitan perumahan terbengkalai (untuk generasi kedua) adalah yang terbesar. Lain-lain adalah isu klinik kesihatan seperti di Felda Chini Timur yang perlu dinaik taraf (berikutan penduduk yang ramai). Ada juga masalah berkaitan ATM (mesin pengeluaran wang automatik) yang hanya ada tiga.

“Isu di kampung tradisional pula berkaitan luahan orang kampung dari segi perumahan dan kos sara hidup, bagaimana hendak tingkatkan ekonomi orang di kampung tradisional. Di kampung Orang Asli pula, generasi baru pastinya nak tanah dan rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin),” katanya.

Berbanding golongan lama yang dilihat sudah stabil dan lebih banyak berharap untuk mendapat kemudahan yang lebih baik, isu membabitkan golongan belia di kawasan ini adalah berkaitan sumber ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Pertama, kita kena lihat ada orang muda yang berminat berniaga sama ada di kaki lima jalan ataupun perniagaan dalam talian dan di pasar tani. Jadi (cadangan) kita bantu semua pengusaha ni diletakkan di satu kawasan yang teratur. Hasrat kita apabila semua ini disatukan, senang untuk orang ramai boleh beli barangan… pergi ke satu tempat sahaja.

“Kerajaan negeri juga sudah menggerakkan program seperti Sentuhan Kasih (untuk generasi kedua yang sudah berkahwin), juga disediakan kerja dalam projek Sentuhan Kasih itu. Sebuah kilang kertas juga akan dibuka nanti di Paloh Hinai (dalam DUN Chini) yang akan memberi 3,000 peluang pekerjaan,” katanya.

Katanya, imej kawasan Felda sering dikaitkan dengan gejala sosial seperti kes dadah dan merempit, dan antara usaha yang beliau mahu lakukan pada masa akan datang adalah untuk menarik golongan belia menyertai aktiviti yang baik termasuk keagamaan.

Cadangan lain untuk golongan belia adalah memperbanyakkan kemudahan bersukan seperti kompleks sukan.

“Felda di DUN Chini terbahagi kepada dua bahagian. Di kawasan Felda Chini Timur, sudah ada satu kompleks sukan komuniti. Di kawasan Felda Chini, belum ada kemudahan seperti itu lagi. Kita akan berusaha untuk wujudkannya,” katanya.

PRK DUN Chini, dengan pengundian akan diadakan pada 4 Julai ini, akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.