Tiga Sebab Utama Kepentingan Penubuhan RCI Untuk Tabung Haji – Fairuz

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Gesaan supaya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) merupakan tindakan pro-aktif untuk memastikan TH sentiasa menjadi instrumen pelaburan utama umat Islam di Malaysia.

Exco Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin berkata penubuhan RCI hendaklah disegerakan kerana tiga sebab utama antaranya membolehkan pendakwaan jika terdapat penyelewengan dan sejarah penubuhan TH pada tahun 1963 bermula 1281 bakal Haji dengan nilai tabungan sebanyak RM46,610 kepada 9.4 juta pendeposit dengan nilai aset sebanyak RM75 billion pada tahun 2019.

Menurut beliau ini membuktikan bahawa TH sangat dekat di hati umat Islam di Malaysia dan institusi ini merupakan tunjang kepada muafakat ekonomi umat Islam dengan memperkasa sektor pelaburan ekonomi patuh syariah dan institusi zakat.

“Imej TH merupakan imej umat Islam di Malaysia. Kerakusan Kerajaan PH melempar pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam TH selepas memenangi PRU-14 menyebabkan TH mengalami defisit kepercayaan. Jika terdapat penyelewangan, pendakwaan perlu dilakukan. Sehingga kini, tiada lagi pendakwaan. Adakan tuduhan jahat itu adalah semata-mata kerana ingin meraih sokongan politik,” soalnya menerusi catatan di facebook, di sini, hari ini.

Seterusnya tambah beliau penubuhan RCI akan membolehkan siasatan transaksi merugikan TH dan selama tempoh 22 bulan zaman pemerintahan PH, banyak transaksi yang mencurigakan berlaku di dalam TH antaranya isu jualan lambak ke atas 76.2% ladang-ladang milik TH Plantations yang berkeluasan 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar.

“Aset TH bernilai RM10 bilion yang terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn. Bhd.(UJSB). Aset-aset ini termasuklah tanah TRX bernilai RM400 juta dan hotel-hotel TH seluruh Malaysia yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan TH.

“Pendedahan surat TH oleh Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menunjukkan dengan jelas bahawa Menteri Agama waktu itu Dr. Mujahid telah ‘Meluluskan Hak Perlucutan Pertama’ (First Right of Refusal) terhadap pembelian semula 18 aset hartanah TH yang telah dipindahkan ke UJSB.

“Penjualan saham milik TH yang menguntungkan termasuk Malakoff Corporation Bhd (500 juta saham dipindahkan), UEM Sunrise Bhd (348.87 juta saham), IJM Corporation Bhd (227.31 juta saham), Hap Seng Plantations Holdings Bhd (66.07 juta saham), Dayang Enterprise Holdings Bhd (76.37 juta saham) and Pintaras Jaya Bhd (11.35 juta saham).

“Syarikat lain pula ialah Naim Holdings Bhd (24.83 juta saham dipindahkan), Integrated Logistics Bhd (20.58 juta saham), Eastern & Oriental Bhd (94.25 juta saham), Pelikan International Corporation Bhd (157.19 juta saham), Icon Offshore Bhd (103.61 juta saham) dan TH Heavy Engineering Bhd (334.16 juta saham),” ujarnya.

Seterusnya tambah beliau lagi RCI juga akan menjulang kredibiliti TH dan selama lebih 50 tahun, TH telah berjaya mengharumkan nama Malaysia kerana mengurus jemaah Haji dengan sistematik dan efisien.

“TH juga berupaya mengurangkan kos mengerjakan Haji dengan memberi subsidi kepada jemaah Haji sebanyak RM12,920 (2019), RM12,470 (2018) dan RM12,470 (2017). Pendeposit kali pertama mengerjakan Haji hanya perlu membayar RM9,980 untuk kos Haji atau 45% daripada kos keseluruhan,” katanya.

Kata beliau lagi imej TH dicalar dengan pengumuman agihan hibah paling rendah dalam sejarah iaitu 1.25% untuk tahun 2018 dan subsidi Haji yang menjadi tunggak asas kepada penubuhan TH juga dicadangkan untuk dihapuskan oleh Bekas Menteri Agama dengan memperkenalkan kaedah istitha’ah atau mengikut kemampuan dalam tuntutan dalam Islam untuk mengerjakan Haji.

“Tindakan sebegini menyebabkan 9.4 juta pendeposit dan bakal pendeposit meragui prestasi TH sebagai instrumen utama pelaburan umat Islam di Malaysia. Kesimpulannya, dengan penubuhan RCI, imej TH akan dibersihkan dan diharapkan akan meraih kembali kepercayaan bakal pendeposit dan dipelihara dari fitnah jahat PH.

“Kerajaan juga disaran untuk mengambil tindakan pendakwaan sewajarnya terhadap pesalah guna kuasa dan membantu TH untuk mendapatkan kembali aset untung yang dijual secara paksa oleh pemimpin PH yang tidak bertanggungjawab,” tambahnya.

Sebelum ini, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar Kerajaan Baharu PN dapat segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai TH.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun RCI mengenai TH bukanlah sebahagian daripada janji Kerajaan PN (sebaliknya janji manifesto PH), namun rakyat berhak mendapat penjelasan yang tuntas dan telus mengenai pelbagai tuduhan penyelewengan yang digembar-gemburkan oleh Kerajaan PH terdahulu.-UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.