Pembukaan Semula Sekolah Berjalan Lancar, Patuhi SOP Dan Normal Baharu

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Pembukaan semula sesi persekolahan hari ini berjalan lancar dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) normal baharu.

Setelah kira-kira tiga bulan terhenti akibat pandemik COVID-19, seramai 500,444 pelajar daripada 2,440 sekolah menengah yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), serta peperiksaan antarabangsa hari ini kembali semula ke sekolah untuk meneruskan pembelajaran mereka.

Hasil tinjauan Bernama di beberapa sekolah seluruh negara pada seawal 7 pagi, mendapati guru-guru yang bertugas memeriksa suhu badan pelajar di pintu masuk sekolah sebelum membenarkan mereka memasuki kelas masing-masing.

Pada masa sama, kesemua pelajar yang hadir dilihat memakai pelitup separuh muka, sementara beberapa guru pula turut memakai pelindung muka bagi tujuan keselamatan, selain mematuhi penjarakan sosial dalam kalangan mereka .

Di SELANGOR, tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia mendapati semua laluan telah ditanda dengan pelekat bagi menandakan arah yang perlu diikuti para pelajar dan guru bertujuan mematuhi jarak sosial.

Waktu rehat pelajar Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam Atas juga dibahagikan pada tiga sesi bagi memastikan pelajar tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai pada satu masa, sekali gus mematuhi SOP pergerakan di sekitar sekolah.

Di Shah Alam, pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 di sini, menzahirkan rasa seronok dan teruja apabila dapat kembali bersekolah kerana dapat belajar bersemuka dengan guru walaupun dalam suasana normal baharu.

“Bila dapat tahu sekolah akan dibuka hari ini memang gembira sangat, seminggu saya buat persiapan untuk ke sekolah, saya sediakan baju (sekolah), kasut dan beg. Saya teruja, at least bila ke sekolah saya dapat jumpa rakan-rakan dan cikgu walaupun kena patuh kepada SOP ditetapkan. Tidaklah bosan sangat macam belajar di rumah,” kata Suraya Aishah Badrul Hisham.

Pelajar itu menyifatkan pembukaan sesi persekolahan itu adalah peluang terbaik untuk dirinya membuat persiapan rapi bagi menghadapi peperiksaan SPM.

“Dalam tempoh tidak bersekolah ini kita hanya belajar secara online… ada sedikit kesukaran sebab kita tak berapa nak faham apa yang cikgu ajarkan. Mungkin sebab tidak belajar secara berhadapan (dengan guru) jadi kalau nak tanya soalan pun macam susah sedikit, jadi bila dapat datang sekolah saya rasa seronok,” katanya.

Di PUTRAJAYA, guru di SMK Putrajaya Presint 8 (1) mengambil suhu pelajar ketika mereka di dalam kereta di kawasan sekolah bagi memastikan hanya yang sihat dibenarkan masuk ke kelas manakala yang bergejala, ibu bapa dan penjaga akan diminta membawa anak mereka balik.

Bagi pelajar yang menaiki bas, mereka akan berjalan kaki kira-kira 50 meter dari tempat turun bas untuk ke ruang legar sekolah bagi diambil suhu. Sekiranya suhu melebihi 37.5, mereka akan diminta berehat di satu kawasan untuk diambil bacaan kali kedua dan jika masih tinggi, mereka akan dimasukkan ke bilik isolasi sehingga ibu bapa dan penjaga mengambil mereka pulang.

Di PERAK, seorang pelajar Tingkatan Lima SMK Anderson, Ipoh, Usamah Ariffin Abdillah, 17, nekad hadir ke sekolah walaupun bertongkat selepas kehilangan kaki kanan akibat kemalangan motosikal bersama rakan pada awal tahun lepas.

Usamah, yang juga atlet para renang Perak, berkata menjalani sesi pembelajaran di sekolah memberi lebih kemudahan kerana dapat bersemuka dengan guru dan memudahkan komunikasi untuk bertanyakan soalan.

“Selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, saya terpaksa menggunakan telefon bimbit milik ibu untuk mengikuti kelas secara dalam talian dan ia agak sukar lebih-lebih lagi apabila capaian Internet tidak begitu baik,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut melakukan tinjauan bagi memastikan pematuhan SOP, di Sekolah Perempuan Methodist dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet di Ipoh pada kira-kira 8 pagi.

Sementara itu, dalam usaha memastikan setiap pihak mematuhi SOP dan mencegah penularan wabak COVID-19 di KELANTAN, polis negeri menggerakkan seramai 200 pegawai perhubungan sekolah bagi membantu pengurusan sekolah memantau pelaksanaan SOP.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mohamad Piah, yang ditemui selepas melakukan tinjauan di SMK Ismail Petra, berkata anggota trafik akan ditempatkan di luar kawasan sekolah selepas pelajar menamatkan sesi persekolahan pada setiap hari bagi mengawasi mereka supaya tidak berkumpul.

“Sepanjang tinjauan hari ini, 177 pelajar yang hadir ke sekolah ini memakai pelitup separuh muka, ada kaunter untuk merekodkan kehadiran pelajar dan saringan suhu. Selain itu, penjarakan sosial sejauh tiga meter dilakukan di dalam kelas manakala pada waktu rehat pula, makanan dihantar kepada pelajar sepanjang sesi pembelajaran bermula 7.30 pagi hingga 2.10 petang,” katanya yang berpuas hati dengan tatacara pematuhan SOP yang dlaksanakan pengurusan SMK Ismail Petra.

Di PULAU PINANG, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad yang membuat tinjauan di SMK Raja Tun Uda, Bayan Lepas berkata setiap sekolah di negeri ini mempunyai kumpulan pemantauan yang diketuai oleh pegawai penguasa yang akan memantau pematuhan SOP.

Tinjauan Bernama mendapati enam kaunter saringan suhu disediakan pihak sekolah bagi memudah dan mempercepat urusan pengambilan suhu pelajar, manakala 20 buah kelas dibuka bagi menempatkan 245 pelajar Tingkatan Lima dengan satu kelas memuatkan 18 pelajar, berbanding hanya 12 kelas sebelum ini.

Pada waktu rehat, hanya seorang wakil kelas akan mengambil makanan yang telah ditempah lebih awal di kantin untuk diedarkan kepada pelajar di dalam kelas.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Sulaiman Md Ali yang melawat SMK Ayer Keroh, berharap pembukaan semula sesi persekolahan hari ini dapat menyuntik semangat kepada pelajar terlibat dan memanfaatkan masa dengan baik untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

Seramai 13,640 pelajar dan 6,122 guru daripada 77 sekolah di Melaka akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM.

Di JOHOR, kira-kira 50,000 pelajar Tingkatan Lima dan Enam di 234 buah sekolah di negeri ini, memulakan sesi persekolahan hari ini.

Tinjauan Bernama di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perling yang keseluruhannya mempunyai 337 pelajar Tingkatan Lima mendapati pergerakan mereka dikawal rapi dan mematuhi SOP sebaik tiba di pintu pagar sekolah.

Meskipun masing-masing memakai pelitup separuh muka, jelas terpancar keceriaan dan tawa ria mereka dapat bertemu rakan-rakan dan guru setelah tiga bulan tidak dapat hadir ke sekolah berikutan pandemik COVID-19. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.