Muafakat Nasional Untuk Semua, Malaysia Perlu Keluar Dari Kepompong Konservatif – Shahril


KUALA LUMPUR, 24 Jun – Muafakat Nasional PAS-UMNO bukan semata-mata untuk memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu, tetapi akan menjadi kuasa politik yang digeruni dan disegani.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata, visi alternatif Muafakat Nasional juga akan mengketengahkan isu pengangguran, ekonomi, pendidikan dan pelbagai aspek lagi.

“Contoh bukan hanya isu Melayu yang kita kena ada pandangan. Kita kena ada juga pendirian mengenai TAR College yang mana Pakatan Harapan (PH) dan Dap menidakkan bantuan dan kebajikan TAR College itu semata-mata ia ada kena mengena dengan MCA,” ujarnya.

Beliau mengupas perkara tersebut pada Bicara Harakah 3.0 membincangkan tajuk “100 Hari Perikatan Nasional” yang bersiaran langsung atas talian di Facebook HarakahTV, malam tadi.

Menurutnya, Muafakat Nasional juga perlu menangani pelbagai segmen masyarakat di mana antara cabaran utama adalah golongan muda terutama melibatkan isu berkaitan ekonomi dan pendapatan.

Beliau optimis, sekiranya isu berkaitan dapat diselesaikan menerusi dasar yang bersifat ‘luar kotak’ semasa, maka gabungan parti tersebut telah mencapai 70 peratus sasaran untuk menjadi kuasa politik.

Antaranya ujar beliau, merubah intervensi ekonomi untuk menginsentifkan syarikat-syarikat supaya julat gaji antara pihak atasan, pertengahan dan bawahan tidak berjurang terlalu tinggi.

Jelasnya, Muafakat Nasional perlu berani mengemukakan solusi-solusi yang lebih radikal dan tidak konservatif dalam tindakan serta dasar bagi mengurus masyarakat majmuk dan segmen berbeza.

Begitu juga hurainya, negara dan dunia dalam menghadapi COVID-19 sebenarnya berhadapan satu peperangan di mana menuntut langkah berani terutama kesediaan mengatasi masalah pengangguran.

Cadang beliau, kerajaan sendiri perlu menyediakan pekerjaan menerusi skim yang unik dan istimewa dan bukan lagi melakukan pelaburan tertentu atau penawaran kerja oleh pihak swasta.

Antaranya jelas beliau, skim jaminan kerja dalam sektor yang tidak ditawar atau dilabur oleh pihak swasta serta tidak melibatkan teknologi terlalu tinggi seperti perkhidmatan asuhan kanak-kanak dan keselamatan makanan.

“Kerja-kerja yang meningkatkan kualiti hidup kemasyarakatan. Mungkin bukan kerja glamour, tetapi yang penting ada gaji dan ada pendapatan. Benda ini akan memerlukan suntikan dana yang besar, memerlukan hutang kerajaan yang lebih tinggi,” katanya.

Keadaan tersebut terangnya, mungkin akan menyebabkan had 55 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi had dibenarkan kanun kewangan, tetapi Sidang Parlimen mesti memutuskannya.

Mengambil kira kemungkinan bantahan PH, beliau berharap komponen itu ikhlas membantu ekonomi masyarakat dan negara ke arah perancangan untuk meluluskan peningkatan siling hutang negara.

“Kerana ini bukan zaman kita nak takut sangat dengan defisit dan takut sangat dengan hutang negara kerana lihat di Amerika Syarikat dah dekat 100 peratus KDNK. Singapura dah lebih 100 peratus KDNK.

“Jadi, PH tak payahlah buat cerita seolah-olah hutang lebih 55 peratus ini akan menghancurkan negara, tidak. Sekarang ini UMNO dengan PAS pun tahu hal ekonomi, bukan PH sahaja yang boleh nak cerita pasal ekonomi.

“Maknanya kita sendiri yang meletak untuk mendisiplinkan keadaan dalam keadaan peace time. Ini war time tak ada masa kita nak berdisiplin dengan satu had yang saya ingat tidak relevan buat masa jangka pendek.

“Jangka panjang bagus, jangka pendek ini perlu diubah. Jadi kita harap itu boleh dilonggarkan. Dan perbelanjaan kerajaan boleh dilaksanakan kepada perkara-perkara macam inilah untuk maintain pengangguran orang muda ini,” hujahnya. – HARAKAHDAILY