PRK DUN Chini: Muafakat Pilihan Raya Norma Baharu – Norshida

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini amat unik kerana pertama kali dalam sejarah negara ianya diadakan ketika seluruh dunia bertungkus-lumus dengan iltizam serta semangat juang yang tinggi untuk melawan pandemik COVID-19.

Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim berkata ini kali pertama parti politik berhadapan PRK dalam keadaan tidak boleh berkumpul ramai-ramai dan berkempen secara himpunan awam.

Menurut beliau partisipasi dan kebebasan berkempen adalah salah satu elemen penting dalam sistem demokrasi namun perlaksanaan pilihan raya dan kaedah berkempen norma baharu ini perlu dilaksanakan bagi mengelak penyebaran COVID-19.

“Semua pihak yang terlibat wajib mempunyai iltizam dan usaha untuk mengawal dan memelihara keadaan Zon Hijau COVID-19 di kawasan Pekan, Pahang tanpa menjejaskan proses demokrasi.

“Kita bakal melihat juga calon yang bertanding akan menggunakan kreativiti tersendiri dengan kaedah berkempen norma baharu menggunakan media sosial dan rangkaian komunikasi telefon pintar sebagai saluran kempen.

“Selain itu, kaedah berkempen dengan memasang kain rentang dan poster yang memaparkan diri calon boleh diteruskan sebagai saluran komunikasi semasa sepanjang tempoh berkempen ini. Kita perlu ingat bahawa sistem demokrasi negara kita tidak boleh terhenti kerana COVID-19, namun ia memerlukan penyesuaian untuk meneruskan kelangsungan proses demokrasi negara,” katanya kepada UMNO-Online.

Tambah Norshida calon yang bakal bertanding perlu mengikuti sepenuhnya SOP yang telah di gariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerap mencuci tangan, memakai penutup muka, dilarang bersalaman serta mengekalkan jarak sosial satu meter ketika berkempen bertemu pengundi.

Tambahnya lagi mana-mana calon yang gagal mengikuti SOP tersebut wajar dikenakan tindakan yang tegas oleh pihak SPR demi memastikan semasa kempen pilihan raya ini dijalankan supaya ianya tidak mewujudkan kluster penularan wabak COVID-19 yang baru.

“Setiap calon yang bertanding perlu memastikan tiada lagi berkempen berasaskan kepada perhimpunan ramai. Sekiranya mereka ingin berkempen gunalah kaedah teknologi digital seperti berkempen dengan menggunakan aplikasi ‘Skype’, ‘Zoom’ atau ceramah secara maya.

“Berkempenlah secara matang kerana kematangan itu akan mewujudkan suasana yang harmoni dalam kehidupan rakyat di DUN Chini yang berbilang kaum dan pegangan agama. Kita perlu sentiasa berwaspada ketika berkempen semasa PKPP ini. PKPP bukannya satu bonus kepada setiap calon yang bertanding untuk bebas berkempen dan bergerak.

“Ini perlu dilakukan mengikut prosedur yang telah di gariskan. Untuk pengundi DUN Chini, Kerajaan melaksanakan PKPP bertujuan bagi memulakan aktiviti penjanaan semula ekonomi dalam keadaan yang terkawal. Perkara ini akan melibatkan sebahagian besar sektor ekonomi yang diberi kebenaran untuk beroperasi, tetapi haruslah mematuhi SOP ketat yang disediakan oleh pihak kerajaan,” ujarnya.

Ujarnya lagi semua pihak harus faham dan sedar bahawa pelaksanaan PKPP ini sebenarnya adalah satu proses kepada rakyat dan masyarakat untuk mengadaptasikan diri kepada norma baharu.

Hal ini menurut beliau meskipun PKPP ini dilihat seakan memberi ‘kelonggaran’ kepada masyarakat untuk beraktiviti, namun pada masa yang sama perlu mematuhi segala SOP yang telah dikeluarkan dan muafakat kerjasama antara semua pihak amat penting dalam memastikan PRK DUN Chini di jalankan dalam norma baharu.

“Kita juga amat bertuah kerana negara Malaysia mempunyai pasukan petugas kesihatan yang sangat baik dan bertaraf dunia yang bersedia untuk membantu dan memberikan garis panduan mengenai langkah-langkah terbaik untuk menjalankan pilihan raya di PRK DUN Chini khususnya dan piliha nraya lain yang bakal menjelang tiba ketika seluruh dunia menghadapi krisis pandemik COVID-19,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.