PRK Chini : Tiada Pertandingan, Menang Tanpa Bertanding Adalah Yang Terbaik Demi Rakyat

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Dalam keadaan pelbagai agensi kerajaan sedang bertungkus-lumus terlibat dalam usaha untuk mengisi kekosongan kerusi DUN Chini (N.23) mengalahkan COVID-19,  tiada pertandingan dan menang tanpa bertanding adalah yang terbaik demi rakyat dan negara, kata mantan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.

Ujarnya, perkara yang terbaik diharap akan berlaku pada Hari Penamaan Calon pada 20 Jun ialah tiada pertandingan maka seorang calon diisytiharkan oleh Pegawai Pengurus (PP) sebagai  menang tanpa bertanding.

“Jika hanya seorang calon BN sahaja yang menyerahkan Borang Penamaan Calon (dari 9 – 10 pagi) pada 20Jun ini, (jika calon menepati semua syarat  dan kelayakan) maka PP yang bertanggungjawab akan mengisytiharkannya calon sebagai telah Menang Tanpa Bertanding dan serentak akan mengistiharkan beliau sebagai Wakil Rakyat yang sah untuk DUN berkenaan,” katanya.

Tetapi ujarnya jika nanti ada  yang  tanpil untuk menyerahkan Borang Penamaan dalam tempoh masa yang ditetapkan, dan mematuhi semua syarat dan kelayakakan maka PP akan mengistiharkan  pertandingan dan Pengundian akan diadakan.

“Bila ada pertandingan semua urusan dan proses-proses pilihan raya yang berkaitan akan terpaksa dijalankan selaras dengan kehendak Undang-Undang dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya yang perlu dipatuhi.”

Jelasnya, tiada pertandingan dan pengisytiharan Menang Tanpa Bertanding adalah perkara yang terbaik yang diharap berlaku.

“Jika ini berlaku, SPR dan PDRM tidak perlu bersusah payah untuk melaksanakan segala ketetapan SOP PRK normal baharu utk nenjalankan PRK bagi DUN tersebut.

“Pengeluaran Permit Kempen dan pengawalan keselamatan berkaitan dengan kempen oleh Polis  tidak diperlukan,  tiada keperluan SPR membuat pemantauan semasa calon berkempen,  khemah khas untuk  pengundi yang bergejala COVID-19 tidak perlu, tiada keperluan menyedia peralatan pelindungan diri (PPE) untuk petugas-petugas, bajet elaun petugas dikurangkan.

“Maka tiada keperluan untuk membelanja wang rakyat (RM 4.3juta) untuk mengisi satu kekosongan kerusi di Dewan Undangan Negeri di mana (Muafakat Nasional 33 kerusi dari jumlah 42 kerusi DUN Negeri Pahang).”

Terangnya, penggunaan  bajet PRK hanya melibatkan kos penyediaan dan lojistik di peringkat awal sehingga urusan Hari  Penamaan Calon sahaja, mungkin ada beberapa kos lain yang kecil.

“Parti-parti politik juga tidak perlu berbelanja besar untuk  berkempen, menyediakan pondok panas dan petugas, menjalankan pelbagai aktiviti kempen dan lain-lain.

“Wakil Rakyat N.23 DUN Chini yang baharu tetap diisytiharkan SPR untuk mengisi kekosongan tersebut, tetapi ini  terhasil  dengan penjimatan wang rakyat yang agak besar dalam keadaan negara berdepan dengan wabak COVID-19.  Pembaziran dapat dielakkan dan keselamatan dan kesihatan rakyat terkawal.

“Tidak timbul isu  pengundi takut utk keluar mengundi,   kebimbangan KKM dan rakyat di kawasan Chini  tentang penyebaran Covid-19 tidak lagi menjadi isu.”

Justeru, tegasnya tiada pertandingan dan Menang Tanpa Bertanding adalah yang terbaik demi rakyat dan negara.

Dilaporkan, sehingga saat ini, hanya BN yang akan meletak calon sementara PKR melalui  kenyataan Setiausaha Agongnya, Datuk Saifuddin Nasution tidak akan bertanding. Keputusan sama juga telah kedengaran dari Parti AMANAH, manakala bagi PAS dan BERSATU, dua parti anggota gabungan Perikatan Nasional (PN) itu juga telah mengumumkan akan menyokong calon BN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.