COVID-19: Kes Aktif COVID-19 Di Malaysia Bawah 500

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Jumlah kes COVID-19 di Malaysia yang aktif dengan kebolehjangkitan kini kurang lima peratus daripada keseluruhan 8,529 kes positif yang direkod setakat rangkuman mingguan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan mengumumkan, sehingga pukul 12.00 tengah hari Khamis 18 Jun, jumlah kes aktif COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 408 kes.

Penurunan jumlah kes aktif COVID-19 di bawah 1,000 mula direkod pada Ahad 14 Jun, 986 kes, Isnin 15 Jun 973 kes, Selasa 651 kes dan Rabu 521 kes.

Untuk empat hari berturut-turut sejak Isnin 15 Jun, tiada kes kematian baharu diumumkan dan angka kematian kekal 121 kes.

Untuk jumlah pesakit COVID-19 yang pulih dan discaj, seramai 127 kes dilaporkan pada Khamis 18 Jun, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 8,000 kes atau 93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes di negara ini.

Kadar kesembuhan ini meletakkan Malaysia antara tertinggi di dunia.

Rekod tertinggi jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dicatat pada Selasa 16 Jun iaitu 333 orang. Sabtu 13 Jun mencatat 143 pesakit yang sembuh dan Rabu 17 Jun, 140 orang.

DUA ANGKA

Kes baharu COVID-19 kekal dua angka pada Khamis 18 Jun iaitu 14 kes. Faktor kes import dan penularan tempatan yang melibatkan bukan warganegara Malaysia masih mendominasi jumlah kes baharu.

Daripada 14 kes baharu, tiga (3) kes adalah kes import melibatkan dua (2) warganegara Malaysia dan seorang (1) bukan warganegara (pemastautin tetap).

Daripada 11 kes penularan dalam negara, tujuh (7) kes melibatkan bukan warganegara sementara empat (4) lagi dalam kalangan warganegara.

Untuk rekod, kes baharu satu angka diumumkan pada Selasa 14 Jun iaitu 8 kes melibatkan dua (2) kes import dan enam (6) kes penularan tempatan iaitu empat (4) bukan warganegara dan dua (2) warganegara.

Sehingga Khamis 18 Jun, empat (4) orang pesakit COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

Untuk rekod, Khamis 18 jun genap 90 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa 1 berkuatkuasa 18 Mac 2020. Malaysia kini memasuki fasa pemulihan, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020.

Malaysia akan hanya mengisytiharkan bebas COVID-19 apabila mencatat sifar kes baharu jangkitan untuk 28 hari berturut-turut.

PERKEMBANGAN DALAM NEGERI

Kuarantin di rumah sendiri: Bermula Rabu 10 Jun, rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara tidak lagi ditempatkan di pusat kuarantin, sebaliknya perlu menjalani kuarantin di rumah.

Mereka akan menjalani ujian calitan sebaik tiba di pintu masuk negara dan yang didapati positif terus dihantar ke hospital, manakala yang negatif dibenarkan pulang untuk menjalani kuarantin di kediaman masing-masing.

Menurut Menteri Kanan (Kluster) Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mereka diwajibkan memakai gelang tangan dan memuat turun aplikasi MySejahtera dalam telefon pintar masing-masing, bagi memudahkan proses pengenalan dan pemantauan.

Rakyat Malaysia di luar negara turut disaran membuat ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum pulang ke tanah air. Ini untuk menangani isu tempoh waktu menunggu terlalu lama untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

Kluster baharu – Pada Isnin 15 Jun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu sidang harian media COVID-19, satu kluster baharu melibatkan sebuah rumah penjagaan warga emas di Kuala Selangor, Selangor.

Satu kluster baharu di Sabah diumumkan pada Rabu 17 Jun. Ia berkait dengan kematian seorang warga emas yang meninggal dunia di rumah pada 12 Jun akibat komplikasi sakit jantung dan disahkan positif COVID-19 apabila jenazah dibawa ke hospital dan dibuat saringan.

Ubat ‘Dexamethasone’ – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalah guna atau mengambil ubat ‘Dexamethasone’ tanpa preskipsi daripada doktor untuk merawat wabak COVID-19.

Menurut Dr Noor Hisham, ubat berkenaan mempunyai kesan sampingan, antaranya sindrom ‘cushing’, penipisan kulit, dan beberapa siri kesan sampingan seperti kehilangan keupayaan tulang serta kelemahan otot, bergantung kepada tempoh berapa lama pengambilannya.

Dexamethasone adalah sejenis ubat steroid yang digunakan untuk mengurangkan radang dalam pelbagai penyakit, termasuk pesakit kanser, dan KKM mengambil maklum perkembangan awal ujian klinikal ubat Dexamethasone dalam merawat COVID-19 yang dikenali sebagai ‘Recovery Trial’ di University of Oxford.

“Hasil dapatan awal ‘Recovery Trial’ menunjukkan ubat ini dapat mengurangkan risiko kematian iaitu sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit Covid-19 yang mempunyai gejala penafasan yang serius, terutamanya mereka yang berada di tahap lima dan memerlukan bantuan pernafasan.”

“Namun, ujian klinikal ini juga mendapati ubat ini tidak membantu dalam rawatan pesakit Covid-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau yang tidak memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media COVID-19 pada 17 Jun, sambil menambah, ubat tersebut hanya digunakan di wad Unit Rawatan Rapi, maksimum empat miligram dan lima hari sahaja dalam kalangan pesakit kritikal Covid-19 tahap lima.

SENARIO GLOBAL

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu taklimat media mengenai COVID-19 pada Rabu 17 Jun, jumlah kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melebihi lapan juta.

Sejak dua bulan lepas, sebanyak enam juta kes dilaporkan berbanding 85,000 kes, dua bulan pertama kes mula dikesan.

Angka kematian pula melebihi 435,000 dan wabak COVID-19 dilaporkan meningkat dengan pantas di benua Amerika, Afrika dan Selatan Asia.

Beliau turut menyentuh laporan positif dari United Kingdom mengenai ujian pemulihan menggunakan Dexamethasone, sejenis steroid biasa yang menunjukkan kesan yang memberi manfaat kepada pesakit tenat COVID-19.

Pada sidang media Isnin 15 Jun, beliau sekali lagi mengingatkan negara yang menunjukkan kemampuan untuk mengekang penularan COVID-19 perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan gelombang baharu wabak itu.

Beliau juga mengulas kluster COVID-19 yang muncul di Beijing, China minggu lepas selepas 50 hari tiada kes baharu dilaporkan.

Sejak enam hari lepas sebanyak 137 jangkitan COVID-19 dilaporkan. Kes baharu virus itu dipercayai bermula di pasar borong makanan Xinfadi dan hampir 30 kawasan perumahan di Beijing dikenakan perintah berkurung.

ANGKA GLOBAL COVID-19

Menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes COVID-19 di seluruh dunia, setakat rangkuman ini dibuat ialah 8,578,052 dengan 456,284 kematian. Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh seramai 4,530,262 orang.

Dengan kes COVID-19 di Amerika Syarikat mencecah 2,263,651, negara ini masih di tempat teratas, sejak kes positif COVID-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan. Kes kematian seramai 120,688 orang.

Brazil, di tangga kedua dengan 983,359 kes dengan 47,869 kematian, diikuti Rusia dengan 561,091 kes dengan 7,660 kematian dan India 381,091 kes dengan 12,604 kematian.

Di samping empat negara di atas, ada 12 buah negara yang merekodkan lebih 100,000 kes COVID-19, iaitu United Kingdom 300,469 kes (42,288 kematian), Sepanyol 292,348 kes (27,136 kematian), Peru 244,388 kes (7,461 kematian), Itali 238,159 kes (34,514 kematian), Chile 225,103 kes (3,841 kematian), Iran 197,647 kes (9,272 kematian), Jerman 190,126 kes (8,946 kematian), Turki 184,031 kes (4,882 kematian), Pakistan 160,118 kes (3,093 kematian), Perancis 158,641 kes (29,603 kematian), Arab Saudi 145,991 kes (1,139 kematian), Bangladesh 102,292 kes (1,343 kematian) dan Canada 100,220 kes (8,300 kematian).

Sementara China di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-21 dengan 83,325 kes dan 4,634 kematian (tidak berubah dari minggu sebelumnya).

Negara lain dunia yang mencatat jumlah kes COVID-19 yang besar termasuk Qatar 84,441 kes (86 kematian), Afrika Selatan 83,890 kes (1,737 kematian) dan Belgium 60,348 kes (9,683 kematian).

Dalam kalangan negara-negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia kini mengatasi Singapura untuk kes COVID-19 tertinggi.

Sehingga rangkuman mingguan ini dibuat, sebanyak 42,762 kes direkod di negara itu dengan 2,339 kematian sementara Singapura mencatat 41,473 kes dengan 26 kematian.

Penambahan jangkitan penyakit maut itu dilaporkan apabila pihak berkuasa Indonesia mula melonggarkan larangan sosial serta membenarkan pembukaan semula masjid, pejabat serta kompleks membeli-belah dibuka, namun dengan beberapa peraturan ketat.

Sementara itu, Filipina mencatat 27,799 kes (1,116 kematian), Thailand 3,141 kes (58 kematian), Vietnam 342 kes ( 0 kematian), Myanmar 286 kes (6 kematian), Brunei 141 kes (2 kematian), Kampuchea 129 kes (0 kematian) dan Laos 19 kes (0 kematian).

—————————————————————————————-
RUANGAN SISI
LATAR BELAKANG COVID-19

— Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

— Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.

— Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.
— WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.

— Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.

— Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

— Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.

— WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).

— Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.

— Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.