Kerajaan Negeri Pahang Wujudkan RTK Khas Bagi Orang Asli

PEKAN, 18 Jun -– Atas sikap mengambil berat secara berterusan terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli, Kerajaan Negeri Pahang mewujudkan secara perintis program pembangunan tanah, Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Khas bagi masyarakat Orang Asli.

Seramai 133 peserta Orang Asli terlibat dalam RTK Khas ini, setiap seorang menerima 2.43 hektar bersamaan enam (6) ekar, yang berkeluasan keseluruhan kira-kira 323.75 hektar bersamaan 800 ekar.

Sepertimana program pembangunan tanah anjuran agensi Kerajaan Persekutuan seperti FELDA, RTK Khas bagi Orang Asli ini akan dibangunkan dengan tanaman sesuai oleh syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (S-GLC), dan peserta akan menerima dividen/saham atas nilai hasil pengeluaran kelak.

Inilah juga yang dikatakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Peserta RTK Khas Kampung Orang Asli Gumum petang Rabu, 17 Jun di sini.

Katanya, “Ianya (RTK Khas ini) adalah cetusan idea Ahli Parlimen Tuan-tuan dan Puan-puan yang juga bekas Perdana Menteri, YB Datuk Seri Mohd Najib bersama-sama dengan Datuk Seri Abu Bakar Harun pada tahun 2016 (lagi).

“Ini dah buat lama dah sepertimana kita buat ORS (Kolam Takungan Hiliran) yang saya pergi ke Sungai Mentiga tempoh hari. Itupun dah dirancang lama. Jadi maknanya, saya nak bagi tahu kepada Tuan-tuan dan Puan-puan yang ada di sini Orang Asli 102 orang pengundi;

“Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun memang telah membuat kerja untuk Tuan-tuan dan Puan-puan dengan sebaik mungkin tetapi dengan takdir Allah, beliau telah dijemput lebih awal. Jadi, kalau ada orang kata ini sebab PRKlah… bagi itu, bagi ini, tak betul… Cuma, bila ada PRK ini kita cuba percepatkan benda yang telah ada, sebab kita ada tumpuan khas,” katanya.

Untuk rekod, Allahyarham Abu Bakar ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, meninggal dunia lewat malam 6 Mei lepas. Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Chini di mana Hari Penamaan Calon pada 20 Jun dan Hari Mengundi ditetapkan pada 4 Julai 2020.

Pada sesi sidang media, Wan Rosdy memaklumkan Kerajaan Negeri bercadang melantik S-GLC mahupun syarikat berkaitan UMNO Negeri (S-ULC) seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) atau Rangkaian Delima Sdn Bhd (RDSB) sebagai pemaju RTK Khas ini.

“Dan ini merupakan salah satu usaha, cara Kerajaan Negeri supaya dapat meningkatkan ekonomi masyarakat Orang Asli,” katanya serta turut tegaskan bahawa, suratan hakmilik tanah juga akan dikeluarkan kepada para peserta apabila tiba masanya kelak.

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa, Orang Asli ialah golongan minoriti di negara dan negeri ini berdasarkan jumlah mereka cuma 198,000 orang atau 0.62 peratus daripada kira-kira 32 juta penduduk Malaysia, dan hanya kira-kira 89,375 orang atau kira-kira 5.59 peratus daripada kira-kira 1.6 juta penduduk Pahang.

Membandingkan jumlah Orang Asli di Pahang (89,375 orang) dengan jumlahnya di seluruh Semenanjung Malaysia (198,000 orang) maka Orang Asli Pahang menyumbang kira-kira 45.12 peratus – merupakan negeri paling ramai Orang Asli di negara ini.

Antara yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Yang Dipertua Dewan Negeri, Datuk Seri Ishak Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak.

Begitu juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Abd Aziz Mat Kiram serta beberapa lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri. – KhabarPahang

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.