“Felda Anak Emas Saya…” Berbeza PH Tak Ambil Peduli – Najib

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun sentiasa memikirkan hal kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasannya termasuklah juga di kawasan Felda yang merangkumi hampir 80 peratus pengundi di kawasan tersebut, ujar Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Katanya, kawasan Felda kini jauh berbeza berbanding dahulu dengan pelbagai pembaharuan, kemajuan, kewujudan pusat komuniti dan fasiliti serta taraf hidup peneroka yang lebih baik.

“Tidak ada sesiapa yang boleh kata bahawa kemajuan tidak boleh dilihat. Bukanlah mereka dalam komuniti Felda ini tidak mendapat pembelaan, sebaliknya ia jadi satu tumpuan.

“Malah satu ketika dahulu mereka kata waktu saya jadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri, Felda ini anak emas saya… macam-macam bantuan kita bagi termasuk bila senaraikan FGV (Felda Global Ventures) mereka dapat RM15 ribu wang tunai.

“Dan ada program yang dekat di hati saya seperti pinjaman untuk baik pulih, besarkan rumah sebanyak RM40 ribu tanpa faedah lebih baik dari pinjaman kerajaan, program untuk generasi kedua dan sebagainya (seperti) projek sentuhan kasih untuk projek ekonomi. Banyak perkara yang kita lakukan,” tambah Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu.

Najib yang juga Pengarah Operasi BN Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini berkata demikian dalam satu segmen Kabor Chini yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, Rabu malam.

Jelas Najib, jasa dan komitmen BN dalam membela kebajikan serta menjaga kepentingan peneroka jauh berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak ambil peduli bahkan hanya pandai menabur janji kosong.

“Cuma dalam tempoh kerajaan PH dulu tak ambil peduli, watak seperti Mazlan Aliman hari ini tak berani nak tunjuk muka sebab dia buat janji-janji palsu kononnya nak hapuskan hutang Felda.

“Ini menyebabkan sebahagian daripada orang muda dahulu mengalih sokongan daripada kita ke PH. Tapi sekarang ini ‘mood’ dan sentimen mereka dah faham bahawa cuma BN sahaja pembela yang sejati kepada mereka,” katanya lagi.

Begitu juga jelasnya mengenai isu projek tadahan bekalan air yang telah diluluskan olehnya sewaktu menjadi Perdana Menteri tetapi dilengahkan oleh kerajaan PH.

“Baru dua tiga hari lalu saya melawat projek bersama-sama dengan Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) dan Datuk Seri Idris (Idris Jusoh-Pengerusi Felda).

“Saya dapati bahawa projek itu saya telah luluskan waktu saya menjadi Perdana Menteri, dilambatkan oleh kerajaan PH. Tapi sekarang ini dapat dilaksanakan dan akan siap dalam tempoh setahun dan bila kita bincang sama-sama dengan Menteri Besar dan Pengerusi Felda, kita dapati bahawa kapasiti projek tadahan air ini hanya boleh menjangkau tempoh sebelas hari sahaja di musim kemarau, kalau lebih sebelas hari kurang punca bekalan air.

“Saya dapati purata musim kemarau 20 hari. Jadi saya kata kenapa sebelas hari sahaja… patutnya kapasiti 22 hari dan kos tambahannya RM10 juta, jadi saya minta Pengerusi Felda lulus serta-merta, dia pun bersetuju ‘sign’ di situ. Ia akan beri manfaat hampir enam ribu lima ratus isi rumah. Siap projek ini tiada lagi masalah air di Chini,” tambahnya.

Berhubung dengan perumahan generasi kedua, Najib berkata akibat beberapa masalah, projek tersebut kembali dilaksanakan.

“Sebenarnya kita telah bermula tetapi ada satu projek itu permasalahan dari segi pemborong, kontraktor dan ia tergendala. Saya telah maklumkan kepada Datuk Seri Idris supaya projek ini disambung balik seberapa segera yang boleh, itupun dia telah setuju Felda akan ambil tindakan.

“Sebab bila projek ini menghadapi masalah kebetulan waktu itu kerajaan PH ambil alih dan mereka tidak melakukan sesuatu untuk memulihkan projek ini, 22 bulan memegang tampuk kerajaan mereka tidak membuat apa-apa.

“Jadi sekarang ini kita dah ambil alih sama-sama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini, InsyaAllah akan sambung dan satu lagi agak unik untuk generasi kedua Felda ini, kita akan serah kepada mereka lot-lot rumah dan setiap peserta buat rumah masing-masing ikut kemampuan,” katanya lagi.

Mengenai pemuliharaan Tasik Chini, Najib berkata sewaktu menjadi Perdana Menteri juga, beliau telah meluluskan penubuhan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iaitu satu makmal melaksanakan program secara berterusan untuk baik pulih tasik lagenda tersebut kembali kepada sediakala.

Mengenai PRK DUN Chini, Najib berharap agar pengundi di kawasan tersebut akan memberi kemenangan yang lebih besar kepada calon BN tambahan pula kini dengan adanya Muafakat Nasional dan menyeru pengundi luar yang merangkumi lebih kurang 42 peratus dari jumlah keseluruhan pulang mengundi. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.