Dap Meratib Siapa Bakal PM: Dua-dua Tidak Ada Untung… Jangan Buang Masa Rakyat – Razlan

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Dap fokuslah untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukan berpolitik sahaja sepanjang masa dengan meratib siapa bakal Perdana Menteri setiap hari, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii.

Katanya, rakyat sudah bosan dengan perbincangan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir Mohamad bakal Perdana Menteri kerana ini tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat.

“Jangan buang masa rakyat dengan kepentingan peribadi mahupun parti kamu,” ujar beliau dalam satu kenyataan berkaitan keputusan Dap yang menyokong Tun M sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan Plus (PHP), sementara Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, keputusan Dap dan sekutu mereka mencadangkan Tun M sebagai Perdana Menteri bukanlah satu perkara yang pelik.

“Keputusan Dap yang mahu Tun M menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga tidak lain dan tidak bukan hanyalah sebagai wayang politik untuk menarik sokongan Melayu kepada PHP. Dap tahu parti PAN dan PKR sudah tidak berdaya lagi menarik sokongan orang Melayu dan atas sebab itu mereka masih mahu Tun M menjadi Perdana Menteri. Ini sesuai dengan strategi Dap yang mahu Melayu ‘screw’ Melayu seperti yang mereka lakukan sebelum ini.

“Meskipun ramai tahu Dap terlalu kemaruk kuasa tetapi janganlah sampai gadaikan prinsip dengan bersetuju akan cara jijik untuk ‘memiliki’ lebih ramai Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional dengan cara tidak bermaruah.

“Sebelum ini Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa PHP hanya mempunyai seramai 107 Ahli Parlimen bersama mereka. Di mana pula asasnya PHP nak membentuk kerajaan Persekutuan dengan bilangan kerusi tidak menyebelahi mereka?”

Katanya, jika kita lihat penulisan mantan Perdana Menteri kebelakangan ini, beliau tidak berhenti-henti memuji dan mempertahankan parti Dap.

“Tun M sedang bersungguh-sungguh membuktikan kepada Dap bahawa beliau akan mempertahankan Dap jika diserang oleh Perikatan Nasional. Sebagai balasan, Dap mencadangkan nama Tun M sebagai Perdana Menteri lagi. Umpamanya ‘you scratch my back, I scratch your back’, quid pro quo antara DAP dan Tun M.

“Namun cadangan ini masih tidak mendapat persetujuan Anwar Ibrahim dan PKR meskipun Dap, PAN, Tun M and the geng serta Warisan telah bersetuju dengan gandingan yang dicadangkan ini. PKR berpendapat sudah tiba masanya Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan bukan Tun M.”

Ulas beliau, sebagai seorang ahli politik, sudah tentu Anwar Ibrahim tidak mahu diperdaya lagi setelah beberapa kali terkandas untuk menggapai cita-citanya.

“Ibarat belum sempat menikmati kemasyhuran dan diangkat menjadi pengganti Tun M untuk kali kedua, tiba-tiba Tun M meletakkan jawatan tanpa berbincang dengan mana-mana parti komponen PH terlebih dahulu. Perkara ini amat mendukacitakan banyak pihak,” katanya yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.