Badan Kehakiman Era PH Lagi Dahsyat, Jelas Ada Campur Tangan Politik, Bidas Najib

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menafikan dakwaan yang mengatakan kes-kes yang melibatkan pemimpin UMNO di mahkamah akan diselesaikan tanpa melibatkan proses perundangan dan kehakiman.

Tegasnya, ia merupakan satu dakwaan yang serius kerana implikasinya seolah-olah badan kehakiman di era kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini terdedah kepada campur tangan politik.

“Saya percaya kerajaan yang ada hari ini tidak mengamalkan kaedah ini. ‘Judiciary’ (badan kehakiman) mesti bebas dan setiap satu kes itu mestilah diputuskan berdasarkan kepada undang-undang dan juga ‘evidence’ (bukti).

“Kalau kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu lagi dahsyat … sampai kepada penyokongnya semua tarik balik kes. Saya dah masukkan dalam ‘posting’ (Facebook) apa-apa kes yang telah mereka gugurkan seperti kes Lim Guan Eng kes banglo dah panggil lebih kurang 30 saksi tiba-tiba bila menang (Pilihan Raya Umum – PRU), kes itu digugurkan.

“UMNO ini belum ada kes yang digugurkan dia dah bunyi macam-macam. Tapi dalam kes waktu 22 bulan Dr Mahathir cakap ‘rule of law’ tapi bila sampai kepada penyokongnya, dia kata tidak apa … dibebaskan, ditarik balik kes, gugur pendakwaan … kes UMNO? Dia mengata macam-macam pula. Saya nampak dia berat sebelahlah dia punya ‘judgement’ atau kata-kata dia memang berat sebelah yang mengenakan kepada UMNO,” tegas Ahli Parlimen Pekan itu lagi.

Najib yang juga Pengarah Operasi Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berkata demikian dalam satu segmen ‘Kabor Chini’ yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, Rabu malam.

Kata Najib juga, ini juga jelas diperkuatkan dengan kenyataan dari bekas Peguam Negara kerajaan PH, Tommy Thomas yang mengaku dilantik bersandarkan lantikan politik.

Ketika ditanya oleh Moderator, Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid mengenai pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Najib berkata reaksi balas pihak yang berkenaan jelas menceritakan keadaan sebenar yang berlaku.

“Jelas bila Tan Sri Apandi Ali membuat pendedahan itu bila ditanya orang berkenaan dijawabnya ‘no comment’ dan Dr Mahathir pun tak berbunyi apa-apa. Maknanya dari segi pandangan rakyat anggap pendedahan (Apandi) itu betul.

“Jadi bila pendedahan itu betul, timbul pula persoalan sama ada orang berkenaan layak atau tidak menjadi pendakwa raya sebab pendakwa raya mesti datang daripada institusi yang bebas.

“Jadi kalau kita dah ada berat sebelah, ‘bias’, lepas tu jadi pendakwa raya … di mana hak seorang itu hendak dapatkan ‘fair trial’. Jadi banyak persoalan yang timbul,” tambahnya.

Dilaporkan, Apandi dalam catatan di Facebooknya baru-baru ini mendedahkan bahawa Tun Dr Mahathir menerusi bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pernah cuba memujuknya agar menangkap Najib yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri walaupun tanpa mempunyai bukti dan asas yang kukuh.

Untuk rekod, kini Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes perbicaraan 1Malaysia Development Berhad yang sedang dihadapi Najib.

Seterusnya dalam perkembangan yang berkaitan, Najib berkata adalah wajar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes-kes yang berprofail tinggi seperti kes anggota Bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Tabung Haji, penjualan aset negara secara lambak oleh PH, tuduhan penyelewengan dalam Felda dan berkaitan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Saya terima sebagai suatu yang wajar dilakukan. Kalau tidak, kita tidak akan tahu kebenaran dan kesahihan.

“Jadi kalau ada suruhanjaya bebas yang ditubuhkan atas nama Yang di-Pertuan Agong, maka kita akan dapat tahu kebenaran, kesahihan sebab tuduhan-tuduhan mereka sama ada tuduhan berasas atau tuduhan yang merupakan fitnah tujuan politik semata-mata,” katanya.

Mengulas mengenai kerajaan PN, Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN tegas berkata ia bukan kerajaan ‘pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’ kerana ia wujud berasaskan Perlembagaan Persekutuan selepas jatuhnya kerajaan PH akibat perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan perpecahan yang berlaku dalam parti gabungan mereka.

“Kita mesti terima hakikat kerajaan PN ini wujud kerana kerajaan PH jatuh bukan sebab lain, kerana Perdana Menteri PH Tun Dr Mahathir letak jawatan. Bila dia letak jawatan, kerajaan PH pun gugur.

“Bila jadi keadaan begitu timbul satu keperluan untuk mendirikan sebuah kerajaan. Yang di-Pertuan Agong ada dua pilihan sama ada nak isytihar Parlimen bubar ataupun pilih orang lain diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri.

“Yang di-Pertuan Agong pilih jalan kedua. Jadi kita kena hormatlah bahawa ia telah melalui proses mengikut perlembagaan sebab Yang di-Pertuan Agong ada budi bicara dan telah buat keputusan,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.