Contohi Moratorium Bank, TNB Disaran Bantu Rakyat Hadapi Kesan COVID-19

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Penganalisa politik Sahrihan Jani menyarankan agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil pendekatan seperti bank yang memberi moratorium dalam meringankan beban rakyat yang hari ini semakin tertekan.

Jelas beliau, jika bank boleh bersetuju mengecualikan faedah untuk tempoh enam bulan selain moratorium yang diberikan maka TNB wajar juga mencontohi langkah tersebut untuk membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik COVID-19.

“Pihak Kementerian Tanaga dan Sumber Asli telah mengarahkan TNB untuk mengemukakan cadangan baru berhubung polemik bil TNB yang menimbulkan keresahan rakyat.

“Ingatlah… rakyat tiada pilihan lain selain menggunakan perkhidmatan TNB… inilah masanya untuk membantu semula mengurangkan kos dan bebanan rakyat. Sebagai GLC yang telah meraih keuntungan berbilion ringgit setiap tahun selama ini, kini mungkin sudah tiba masanya TNB memikirkan untuk memberikan rebet atau pelepasan/pengecualian pembayaran bil kepada premis persendirian bagi tempoh tiga bulan pada ketika negara berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mudah-mudahan dengan langkah tersebut rakyat boleh tersenyum lega dan mudah-mudahan keuntungan TNB akan berlipat kali ganda pada masa hadapan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Namun jelas beliau, rakyat juga harus bersabar agar pihak yang berkaitan dapat mencari dan menzahirkan inisiatif terbaik dalam membantu meringankan beban rakyat.

“Saya percaya, kerajaan yang ada sekarang ini adalah sebuah kerajaan yang mendengar keluh kesah rakyat.

“Suara rakyat telah diambil maklum dan kini kita beri masa sedikit kepada TNB untuk mencari jalan penyelesaian dan terbaik untuk kedua-dua belah pihak.”

Sejak PKP dilaksanakan kerajaan, media sosial dipenuhi dengan aduan dan rungutan yang dibuat oleh rakyat kepada TNB berikutan bil elektrik yang dikenakan meningkat terlalu tinggi walaupun tahap penggunaan sama seperti bulan-bulan yang sebelumnya.

Difahamkan, bil TNB dikira menerusi anggaran secara purata bagi bulan Mac, April dan Mei, yang dibuat berdasarkan jumlah penggunaan elektrik pada bulan sebelumnya memandangkan operasi membaca meter tidak dapat dijalankan dalam tempoh PKP.

Namun pada bulan Mei, operasi itu disambung semula dan bil elektrik dikeluarkan berdasarkan penggunaan sebenar elektrik bagi bulan-bulan yang dibuat anggaran tersebut.

Jumlah bil sebenar mungkin lebih tinggi atau lebih rendah berbanding bil anggaran dan akan diselaraskan semula mengikut bil sebenar pada bulan berikutnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.