Mekanisme Caj TNB Diteliti… Keluh Kesah, Rungutan Rakyat Didengar

KUALA LUMPUR, 16 Jun – “Saya mengambil maklum akan keluh kesah dan rungutan yang diluahkan oleh rakyat Malaysia setelah menerima bil TNB,” demikian kata Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berhubung perkembangan sesama berkaitan polemik caj bil elektrik yang dianggap terlalu tinggi daripada kebiasaan.

Jelasnya, beliau dan seluruh pengurusan TNB serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bersama-sama Suruhanjaya Tenaga sedang meneliti beberapa mekanisma untuk menangani rungutan yang disuarakan.

“Adalah menjadi misi saya untuk merakyatkan TNB apabila ditawarkan jawatan sebagai Pengerusi TNB oleh YAB Perdana Menteri. Misi ini akan kekal selagi saya menyandang jawatan tersebut. Insya-Allah, doakan kami menemui jalan penyelesaiannya,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi laman media sosialnya.

Terangnya, apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, operasi bacaan meter TNB terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

“Oleh yang demikian, bacaan meter secara anggaran terpaksa dilakukan dan dihantar kepada para pelanggan TNB untuk tempoh dua bulan (Mac dan April) melalui aplikasi myTNB.

“Sejajar dengan perkembangan semasa, operasi bacaan sebenar meter TNB telah dimulakan kembali sejak 15 Mei yang lalu. Bil terkini yang diterima oleh para pelanggan adalah penggunaan sebenar sejak PKP bermula,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menafikan dakwaan sesetengah pihak yang sedikit nakal mengenai elaun yang diterima olehnya sebagai Pengerusi TNB.

“Elaun sebenar yang diterima adalah jauh lebih rendah. Cukup saya katakan terlalu rendah daripada apa yang ditularkan.

“Saya amat berharap penjelasan yang dinyatakan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia seterusnya memberikan kelegaan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.