PRK DUN Chini Berbeza Dengan PRK Sebelum Ini, Ujian Di Waktu Pandemik – Norshida

KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim berkata, gerak kerja awal proses Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini perlu berjalan selari dengan arahan kerajaan bagi kawalan pencegahan COVID-19.

Serentak itu beliau menimbulkan persoalan adakah semua pihak sudah bersedia dengan satu pilihanraya dengan cara norma baharu yang mana situasi baharu terpaksa dilakukan dan berbeza dengan PRK diadakan sebelum ini.

“Persiapan awal pilihanraya di kala pandamik COVID-19 perlu sentiasa di titikberatkan untuk mengelak sebarang penularan kluster baharu. Sebagai contoh hari penamaan calon, kita perlu menghadkan jumlah maksimum orang yang boleh hadir di pusat penamaan calon dan norma baharu dari segi berkempen antara prosedur operasi standard (SOP) yang perlu ditekakan.

“PRK ini bukan seperti PRK Semenyih dan PRK Tanjung Piai. Pada PRK itu, kita lihat 5,000 hingga 8,000 orang satu parti datang, maka sekarang dan untuk situasi yang datang tiada lagi akan berlaku seperti itu,” katanya kepada UMNO Online.

Katanya lagi, setiap jentera pilihanraya perlu mematuhi sepenuhnya SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semasa tempoh berkempen tambahnya lagi, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini berkuat kuasa, sudah tentu berkumpul melebihi bilangan yang ditetapkan adalah tidak dibenarkan dan ceramah atau kempen yang dibenarkan perlu melalui media massa, internet, mobile unit di dalam kereta atau van yang mana mobile unit tersebut akan berhenti tetapi orang ramai tidak boleh datang ke arah mobile unit tersebut.

“Kita harus ingat dan mempunyai iltizam serta usaha untuk mengawal dan memelihara keadaan Zon Hijau CCOVID-19 tanpa menjejaskan proses demokrasi.

“Dalam pada itu, Wanita UMNO Malaysia turut mengalu-alukan keputusan Pakatan Harapan (PH) yang memutuskan supaya PKR tidak meletakkan calon dalam PRK ini. Wanita UMNO amat berterima kasih atas pendirian PH yang tidak meletakkan calon kerana bimbang dengan keselamatan pengundi susulan penularan wabak COVID-19.

“Kita berpandangan, adalah lebih baik jika UMNO diberi ruang mempertahankan kerusi DUN Chini tanpa sebarang pertandingan memandangkan pandemik COVID-19 itu masih menjadi ancaman ketika ini. Jika tida pertandingan, ia adalah baik untuk semua pihak memandangkan ancaman virus COVID-19 masih lagi berbahaya kepada semua,” ujarnya.

Ujarnya lagi, PRK DUN Chini ini adalah medan mencuba norma baharu dalam proses demokrasi negara sepanjang pandemik COVID-19 ini dan sistem demokrasi negara tidak boleh terhenti kerana COVID-19, namun ia memerlukan penyesuaian untuk meneruskan kelangsungan proses demokrasi negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Chini, Pahang pada 4 Julai 2020. Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 20 Jun manakala tarikh mengundi awal pada 30 Jun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 7 Mei di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham menjadi ADUN Chini dalam Parlimen Pekan selama empat penggal berturut sejak Pilihanraya Umum-11 (PRU11).

Pada PRU-14 lalu, Allahyarham selaku calon Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dengan undi sebanyak 10,027.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.