Jumlah Kenderaan Di Lebuh Raya Meningkat 100 Peratus Hari Pertama PKPP – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 11 Jun – Jumlah kenderaan di lebuh raya meningkat 100 peratus pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam susulan kebenaran perjalanan merentas negeri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai contoh, jumlah kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (Plus) meningkat kepada 2.04 juta semalam berbanding 1.2 juta pada hari sebelumnya, manakala di Lebuhraya Karak, jumlahnya bertambah daripada 37,789 kepada 85,985 semalam.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memantau aliran trafik di semua lebuh raya dan kawasan rehat dan rawat (R&R) untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi oleh setiap pengguna yang pulang ke kampung.

“Jadi jangan bersesak-sesak di tandas awam, jangan bersesak-sesak di surau yang kita telah setuju untuk membukanya, begitu juga di gerai-gerai makan dan saya mengharapkan semua patuh SOP,” katanya pada sidang media harian PKPP, di sini hari ini.

Ismail Sabri mengingatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung supaya memandu secara berhemah berikutan peningkatan kes kemalangan maut sejak perjalanan rentas negeri dibuka.

Mengenai kawalan sempadan negara, Ismail Sabri berkata seramai 704 pendatang tanpa izin dan 125 tekong telah ditahan dari 1 Mei hingga semalam kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama melalui lorong-lorong tikus.

Katanya turut ditahan 12 individu yang disyaki penyeludup serta 14 kapal.

Menurutnya dalam tempoh berkenaan juga agensi penguat kuasa negara berjaya mengusir 164 pendatang asing, enam tekong serta 26 kapal yang cuba membolosi kawalan sempadan negara.

“PDRM juga membuat 49 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 40,969 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Mengulas mengenai pemeriksaan di tapak binaan, Ismail Sabri berkata sehingga hari ini sebanyak 7,424 tapak binaan di seluruh negara telah diperiksa oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,625 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan, 352 tapak binaan diberi amaran manakala 15 tapak binaan diarahkan tutup kerana tidak patuh SOP serta baki 5,432 tapak binaan masih tidak beroperasi,” katanya.

Ditanya mengenai keperluan pekerja kontrak menjalani ujian saringan sebelum melakukan kerja seperti pengubahsuaian rumah, Ismail Sabri berkata perkara itu hanya terpakai dan diwajibkan buat pekerja asing dan bukan kepada kontraktor dan pekerja tempatan.

Namun begitu, ujarnya terpulang kepada tuan rumah dan Badan Pengurusan Bersama kawasan kediaman sekiranya mereka ingin supaya ujian saringan dibuat kepada kontraktor terbabit (kontraktor tempatan) bagi melindungi kesihatan dan keselamatan penduduk setempat.

Berhubung aduan terdapat peniaga tidak mematuhi SOP seperti memeriksa suhu badan dan merekodkan kehadiran pelanggan, Ismail Sabri berkata pelanggan boleh melaporkan perkara itu kepada pasukan petugas khas operasi pematuhan seperti pihak polis.

“Laporkan maklumat premis perniagaan tersebut dan tindakan-tindakan mereka yang tidak patuh kepada SOP. Kalau ada premis perniagaan yang tidak patuh (SOP), sama ada kita boleh kompaun atau hadapkan ke mahkamah atau tutup perniagana mereka,” katanya.

Mengenai taman didikan kanak-kanak (tadika) swasta dan pusat tuisyen, Ismail Sabri berkata Kementerian Pendidikan sedang menyediakan SOP operasi pusat berkenaan dan tarikh pembukaannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Mengenai aktiviti kolam renang, beliau berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan sesi libat urus esok bersama penggiat industri sukan renang serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memperincikan SOP yang lebih komprehensif sebelum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Banyak yang memohon terutamanya daripada KBS untuk latihan di kolam renang, tetapi oleh kerana aktiviti kolam renang masih tidak dibenarkan jadi mereka akan berbincang untuk mencadangkan kepada MKN dan KKM,” kata Ismail Sabri. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.