Kekal Patuh SOP, PKPP Ruang Pulih Ekonomi

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Bermula hari ini, hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya akan kembali beroperasi secara berperingkat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dalam keghairahan rakyat dan kebanyakan sektor untuk kembali meneruskan aktiviti harian dan kelangsungan perniagaan masing-masing, perkara utama yang perlu dititikberatkan pastinya pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan di samping saranan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini tidak terkecuali bagi golongan majikan dan pekerja yang dituntut untuk lebih peka, sentiasa berjaga-jaga dan kekal mengamalkan normal baharu yang wujud sepanjang tempoh krisis pandemik COVID-19, dalam menjalankan operasi mereka.

JANGAN TAMAK, PATUHI SOP


Ramai golongan majikan dan pekerja yang terkesan berikutan COVID-19 ditambah pula dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac dan seterusnya PKP Bersyarat (PKPB) yang tamat semalam (9 Jun).

Justeru, perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Ahad lepas berhubung PKPP, pastinya membuatkan golongan itu menarik nafas lega selepas hampir tiga bulan terjejas ekonomi dan sumber pendapatan.

PKPP yang turut memberi kebenaran bagi perjalanan rentas negeri, kecuali di kawasan yang diisytiharkan PKP Diperketatkan (PKPD)), antara lain turut membenarkan aktiviti komersial yang melibatkan urus niaga jualan dan pemasaran bukan dalam premis perniagaan serta aktiviti pelancongan domestik.

Menurut Doktor Kesihatan Pekerjaan (OHD), Dr Shawaludin Husin, baik majikan mahupun pekerja, perlu sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan serta mengelakkan sifat tamak dengan cuba mengaut keuntungan dalam masa yang singkat.

“Ramai majikan dan pekerja yang tertekan berikutan COVID-19, PKP dan PKPB. Mereka pastinya bersemangat untuk ‘bangkit’ dan memulihkan sumber kewangan.

Sungguh pun begitu, SOP perlu dipatuhi sebagai contoh tidak membenarkan pekerja menerima jumlah pelanggan atau pengunjung yang ramai pada satu-satu masa lebih-lebih lagi di restoran, hotel atau mana-mana premis perniagaan.

“Apa yang penting sekarang, majikan perlu faham dan menerima hakikat bahawa sekurang-kurangnya mereka masih mampu bertahan dan meneruskan perniagaan daripada langsung tidak boleh beroperasi dan terus lumpuh disebabkan krisis ini,” katanya kepada Bernama.

PELANCONGAN DOMESTIK

Dr Shawaludin berkata, bagi kebenaran aktiviti pelancongan domestik, sektor perhotelan sebagai contoh perlu melakukan pembersihan dan sanitasi hotel, fasiliti, bas atau sebarang pengangkutan pelancong serta mengemaskini senarai pakej semasa yang boleh ditawarkan kepada pengunjung.

“Tiada masalah untuk kebenaran pelancongan domestik dengan syarat semua pihak tahu peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam mencegah penularan pandemik ini. Majikan atau pengusaha boleh menyenaraikan aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan untuk pengunjung agar mereka mendapat maklumat yang jelas.

“Kebenaran kerajaan untuk pembukaan semula kebanyakan sektor yang sebelum ini terjejas teruk penting bagi pemulihan ekonomi, namun ia perlu dilakukan dengan SOP yang jelas bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pengguna, majikan dan pekerja dilindungi keseluruhannya,” katanya.

Beliau menambah, antara SOP yang wajar dipatuhi oleh setiap majikan dan pekerja ialah memastikan adanya penjarakan sosial, di samping penyediaan pembasmi kuman dan penggunaan penutup hidung dan mulut untuk pekerja di premis masing-masing serta mengikuti saranan KKM untuk mengelakkan 3S / 3C dan mengamalkan 3W.

Pengguna juga katanya, perlu ada kawalan kendiri dan mengelakkan 3S / 3C: iaitu kawasan yang sesak (crowded place), kawasan yang sempit (confined space) dan bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation) serta mengamalkan 3W: iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), sangat digalakkan memakai alat penutup hidung dan mulut di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan (warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan yang antaranya duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya ada urusan penting sahaja.

“Kita belum menang sepenuhnya dalam mengekang penularan pandemik COVID-19. Kerjasama setiap pihak amat dituntut. Hargailah kelonggaran yang diberi dengan mematuhi setiap arahan dan saranan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa kerana kita tidak mahu kembali semula kepada fasa PKP apatah lagi PKPD.

“Fasa pemulihan ini amat penting bagi memastikan adanya pergerakan dan pengekalan ekonomi yang bertujuan mengurangkan kadar pengangguran yang boleh membawa kepada gejala sosial dan jenayah serta tidak terkecuali masalah mental dalam kalangan rakyat,” katanya.

PULIH EKONOMI

Berkongsi pandangan, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata tindakan kerajaan membuka hampir semua sektor dan sub-sektor dapat mempercepatkan pemulihan ekonomi, meningkatkan rantaian perniagaan dan juga produktiviti.

Ia pada masa sama memberi keyakinan kepada pengeluar dan peniaga di tambah pula dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat 5 Jun, yang dapat menyokong pertumbuhan inventori (bahan mentah, barang dalam proses dan juga barang siap), pelaburan dan pengembangan modal.

“Pertumbuhan inventori sangat dipengaruhi oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Justeru kita berharap kebenaran untuk kembali beroperasi kepada hampir semua sektor ditambah dengan suntikan PENJANA akan menjadi faktor penggerak pelaburan dan seterusnya pertumbuhan modal.

“Langkah membuka semua sektor dan beberapa sub-sektor menyokong interaksi rantaian industri terutama domestik. Interaksi antara sektor akan membantu kepada pemulihan ekonomi walaupun diakui akan sedikit perlahan dan mengambil masa untuk pulih seperti sediakala,” katanya.

Muhammad Ridhuan menambah, menurut Hukum Okun (Okun’s Law), peningkatan KDNK turut membantu menurunkan kadar pengangguran yang menjadi kebimbangan ramai pihak termasuk negara luar yang turut berdepan krisis pandemik COVID-19.

“Justeru, dalam jangka pendek kita berharap pakej rangsangan fiskal oleh kerajaan akan dapat merancakkan interaksi ekonomi melalui sektor yang antaranya terdiri daripada perkhidmatan, pembuatan, pertanian, perlombongan dan kuari dan pembinaan,” katanya sambil menambah pelaburan sektor swasta juga amat digalakkan terutama melalui peningkatan perbelanjaan sektor itu.

PKPP yang akan berkuatkuasa pada 10 Jun 2020 hingga 31 Ogos 2020, menggantikan PKPB yang tamat pada 9 Jun. Dalam tempoh PKPP, lebih banyak kelonggaran diberikan untuk membolehkan rakyat di negara ini menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.