Bantuan Di Bawah Pakej PRIHATIN Akan Diteruskan Sejajar Dengan PENJANA

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Bantuan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) akan berterusan sejajar dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata terdapat beberapa bantuan di bawah PRIHATIN yang masih berjalan sehingga Jun dan ada yang sehingga September.

“Seperti diumumkan perdana menteri minggu lepas, di bawah Pakej PRIHATIN, lebih 2.4 juta pekerjaan diselamatkan, lebih 11 juta rakyat menerima bantuan bagi mengurangkan beban aliran tunai, dan lebih 300,000 syarikat dibantu. Insya-Allah, usaha ini berterusan,” katanya menerusi perkongsian Laporan Kelapan Pencapaian Prihatin – Laksana, di laman Facebook beliau, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata PENJANA merupakan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang akan dilaksanakan dalam tempoh Jun hingga Disember 2020.

Bagi langkah memperkasakan rakyat, tumpuan khusus telah diberikan kepada pekerjaan, kerajaan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang akan dimanfaatkan oleh tiga juta tenaga pekerja.

“Bagi perniagaan, pelbagai inisiatif tersedia untuk membantu syarikat bersaiz besar, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro,” katanya.

Tengku Zafrul berkata selain itu, terdapat beberapa inisiatif di bawah PRIHATIN yang akan dianjakkan kepada PENJANA untuk tujuan pelaksanaan lebih efektif dan demi manfaat kumpulan sasar, iaitu Program Pengekalan Pekerja Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan konsolidasi program fasiliti dan bantuan pembiayaan untuk perniagaan termasuk PKS.

Beliau berkata dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang akan berakhir hari ini, kerajaan mendapati permohonan bagi program tersebut semakin berkurangan, iaitu daripada 15,000 seminggu pada April kepada kurang 300 permohonan seminggu pada awal Jun.

“Pengurangan ini dilihat berlaku selaras dengan pembukaan ekonomi pada awal Mei yang kini menampakkan lebih 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja mula kembali bekerja menurut data terkini Jabatan Perangkaan,” katanya.

Justeru, kerajaan telah memutuskan untuk menyatukan Program Pengekalan Pekerja ke dalam program Subsidi Upah yang telah ditambah baik di bawah PENJANA.

Berkuat kuasa 15 Jun, 2020 program Subsidi Upah kini membenarkan majikan memohon bantuan untuk pekerja yang mengambil cuti tanpa gaji.

“Subsidi upah juga lebih bersasar bagi membantu pekerja dalam sektor pelancongan dan sektor-sektor yang masih di dalam senarai aktiviti dilarang semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Memandangkan bantuan ini diberikan kepada mereka yang bekerja dan cuti tanpa gaji, program Subsidi Upah yang dilanjutkan selama tiga bulan dijangka dapat membantu majikan mengekalkan lebih banyak pekerja dan menyelamatkan pekerjaan, kataya.

Tengku Zafrul berkata bagi konsolidasi program pula, pembiayaan sebanyak RM7 bilion untuk membantu PKS telah diberikan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan di bawah PRIHATIN.

Ini termasuk Bantuan Kemudahan Khas, Dana Agrofood serta Dana Automasi dan Digitalisasi, serta skim kredit mikro.

Beliau berkata di bawah PENJANA pula, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM10.95 bilion termasuk inisiatif pembiayaan sektor pelancongan, PKS, peniaga bumiputera, kontraktor kecil, industri kreatif dan perniagaan mikro.

“Program pembayaran seperti Bantuan Kemudahan Khas, juga Skim Pembiayan PKS PENJANA akan disalurkan melalui BNM manakala program seperti Skim Kredit Mikro akan disalurkan melalui BSN dan juga TEKUN,” katanya.

Beliau berkata Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) di Kementerian Kewangan akan terus memantau pelaksanaan langkah dan inisiatif PRIHATIN dan PENJANA yang akan berjalan serentak demi manfaat rakyat.

Secara keseluruhan, Pakej PRIHATIN dan PENJANA bernilai RM295 bilion, dengan RM45 bilion suntikan fiskal langsung, katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.