PRK Chini : Ada Atau Tidak UMNO Pahang Tidak Ambil Mudah

 

KUALA LUMPUR, 8 Jun – 20 Jun depan merupakan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan pelbagai pihak telah menyatakan pandangan mereka terhadap PRK berkenaan.

Bagi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail persediaan ke arah itu tetap dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai faktor dan kemungkinan yang akan berlaku kelak.

“PRK Chini seperti mana yang kita sedia maklum bahawa pada 20 hari bulan ini ialah penamaan calon, di DUN Chini sebelum ini adalah dari BN jadi sudah tentulah BN akan mempertahankan kedudukan DUN Chini.

“Jadi, untuk tujuan itu Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang (BPUN) telah pun bersiap siaga untuk menghadapi PRK sama ada, ada pertandingan atau tidak tapi kita sentiasa bersiap sedia dan perkara-perkara ini kerja-kerja awalan, meninjau keadaan di sana dan sebagainya memang telah kita laksanakan.

“Sebelum ini Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun telah memberikan perkhidmatan yang sangat baik di Dun Chini dan kita dapat lihat setelah empat kali bertanding Allahyarham mendapat sokongan yang sangat tinggi daripada pengundi-pengundi Dun Chini. Buat masa ini bila ada kekosongan BPUN dan Kerajaan Negeri juga telah melihat untuk membantu apa-apa yang masih belum diselesaikan atau mana yang boleh kita selesaikan cuba selesaikan dengan kadar segera,” katanya kepada UMNO-Online.

Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang dan BN negeri seterusnya menambah seperti mana yang semua tahu terdapat dalam facebook, media sosial dan banyak pertubuhan-pertubuhan NGO yang telah menyeru atau pun mengeluarkan pandangan masing-masing supaya tidak adanya pertandingan kerana jika dilihat sokongan kepada BN begitu tinggi di Dun Chini ini.

“Jadi…saya harap pihak di sebelah sana mungkin boleh memikirkannnya untuk mengambil perhatian mendengar rintihan dari pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya.

“Seperti mana yang saya katakan mungkin dengan ini tidak akan mengubah apa-apa keadaan pun sebagai kerajaan negeri Pahang.

“Dan, jadi kalau tidak ada pertandingan kita dapat menjaga keselamatan kita kerana COVID- 19 dan dalam masa yang sama kita dapat menjimatkan duit kerajaan, kerana kita tahu bila ada PRK, SPR akan membelanja sejumlah peruntukan yang cukup besar sekali,” ujarnya.

Pada masa yang sama beliau menyatakan bahawa BN negeri tidak mengambil jalan yang selesa berkenaan perkara tersebut.

“Kita tidak akan mengambil sesekali jalan mudah atau pun kita dah terlalu yakin kerana terus bersiap sedia untuk menghadapi PRK dan kita akan teruskan malah sekarang ini saya telah mengingatkan semua jentera parti seolah-olah ada pertandingan. Sehingga hari ini kita anggap ada pertandingan.

“Maknanya kita tidak perlu atau arah, kita ‘relax’ dulu mungkin tak ada pertandingan…tidak. Persiapan kita seolah-olah ada pertandingan,” tambahnya.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memohon kerjasama semua pihak khususnya parti-parti politik serta calon Bebas agar memberi laluan kepada penyandang/calon Barisan Nasional (BN)/UMNO untuk menang tanpa bertanding pada PRK tersebut.

Ujarnya saranan ini selari dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, sekarang bukan masa sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) di negara ini berikutan keadaan tidak mengizinkan dan tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mengekang penularan wabak pandemik ini.

Semalam pula, Pakatan Harapan (PH) memutuskan supaya PKR tidak meletakkan calon dan kenyataan menerusi Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilaporkan berkata keputusan itu dibuat berikutan kerisauan terhadap aspek keselamatan pengundi berikutan penularan wabak COVID-19.

Sebelum ini, SPR mengumumkan PRK DUN Chini akan diadakan pada 4 Julai, manakala hari penamaan calon pada 20 Jun, dan pengundian awal pada 30 Jun depan, dengan kos keseluruhan PRK itu dianggarkan berjumlah RM4.3 juta.

SPR turut mencadangkan beberapa SOP kepada Kementerian Kesihatan (KKM), antaranya mengehadkan 400 orang bagi setiap saluran berbanding 600 orang sebelum ini dan menyarankan masa keluar mengundi dalam kad pengundi.

Manakala kempen pilihan raya tertakluk kepada perintah semasa kerajaan.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.-UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.