Stimulus Ekonomi: Pakej PENJANA Satu Langkah Ekonomi Kerajaan Demi Rakyat
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan melihat Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam adalah langkah kehadapan kerajaan setelah melalui krisis COVID-19 dalam tempoh tiga bulan ini.
Katanya, jika sebelum ini pakej-pakej awal lebih banyak kepada untuk memastikan tidak ada sesiapa yang tercicir namun bagi PENJANA adalah lebih khusus.
“Pakej PENJANA ini adalah susulan langkah awal selepas mengambil kira semua fakta dan pengalaman sepanjang tempoh COVID-19 sebelum ini, maka beberapa kesedaran timbul iaitu pertama perlunya kita mengakui bahawa ekonomi perlu dijana atau dibuka sedikit demi sedikit bermula sekarang dan kedua untuk stimulus atau menjana pemangkin aktiviti ekonomi, perlu ada pemfokusan atau pengkhususan kepada beberapa sektor,” katanya.
Jelas beliau, sekiranya dalam pakej PRIHATIN dibuat menyeluruh untuk semua tapi pakej PENJANA ini tidak segan tidak silu Perdana Menteri mengatakan ada beberapa sektor yang mesti diutamakan.
“Ini misalnya sektor pelancongan, sektor PKS, sektor Bumiputera dan sebagainya… dan ini adalah satu langkah yang lebih ke depan kerana tidak lagi kita ‘just spray’ semua tetapi dibuat berdasarkan fakta… tapi beri pengkususan kepada sektor-sektor tertentu yang perlu dijana atau dibangkitkan.”
Beliau berkata demikian dalam Segmen Wawancara Bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia membincangkan isu Stimulus Ekonomi yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online, malam tadi.
Terdahulu beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia menjelaskan berkaitan terma ekonomi antarabangsa berdasarkan situasi terkini.
“COVID-19 ini adalah ‘Great Recession’ iaitu terma yang disebabkan oleh seluruh dunia menghadapi kejatuhan output ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjadi negatif, kalaupun sifar itu dah kira bernasib baik… penurunan pertumbuhan ekonomi dan ianya dilihat unik kali ini… di Malaysia ini kita menghadapi kuasa beli tidak cukup, maka kita perlu menjana kuasa beli orang ramai untuk menjana aktiviti ekonomi… jarang-jarang tapi kali ini berlaku ‘supply side’ juga iaitu bekalan itu sendiri tidak boleh wujud sebab berlaku PKP. Kuasa beli ada masalah juga tapi ‘supply’ pun tak ada … terhenti sebab ada PKP… kedua-duanya bermasalah,” katanya.
Berdasarkan kepada intipati PENJANA, beliau berbesar hati dan berterima kasih kepada Perdana Menteri serta barisan perancangnya yang telah memasukkan input-input yang tepat sebagaimana yang pernah diutarakan sebelum ini.
“Tiga teras utama di bawah PENJANA iaitu Memperkasa Rakyat (Empower People); Melonjakkan Perniagaan (Propel Businesses); dan Merangsang Ekonomi (Stimulate the economy) adalah tepat dengan situasi terkini.
“Namun soal pelaksanaan lebih besar sebagaimana pakej PRIHATIN sebelum ini yang dibuat dalam tempoh pendek dan menimbulkan beberapa kekeliruan namun akhirnya dapat diatasi maka harap kerajaan akan ambil iktibar dari apa yang telah berlaku sebelum ini.
“Pakej PENJANA ini kita tak boleh harap untuk Perdana Menteri berikan pembutirannya tapi ia diumumkan selepas kajian dan penelitian… iaitu selepas melalui tiga bulan COVID-19 dan melalui kesannya.”
Katanya, dalam melindungi pekerjaan, memperkasakan perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) misalnya, kerajaan diharapkan ada senarai automasi yang mesra kepada PKS dan dapat melihat apa-apa yang lebih penting.
“Kalau robotik mungkin terlalu jauh dari mereka tetapi automasi PKS ini ada yang perlu lebih diutamakan kerana PKS adalah rata-ratanya peniaga-peniaga bumiputera… jika aliran tunai mereka ‘sakit’ maka nampak kerajaan tidak cakna.
“Bagi mengatasi penganguran misalnya, harapan saya biarlah latihan itu juga mengambil kira situasi norma baharu, janganlah buat latihan yang atas kertas nampak cantik tapi SOP PKP hanya sekitar 20 orang… jadi bagaimana dana 2 bilion ini nak digunakan
“Contohnya cuba perjuangkan kelas latihan secara ‘online’, ada tak modul-modul latihan untuk dalam talian, jadi pelaksanaan skim latihan ini perlu mencari satu jalan untuk digitalkan pengisiannya dengan melibatkan secara ramai dalam talian… itu yang pertama.”
Kedua katanya, ‘content training’ itu sendiri biarlah relevan dengan industri.
“Kerajaan pun ada peranan, industri mana yang relevan sekarang ini … tentunya kerajaan ada data maka apa ‘training’ yang sesuai atau apa yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan untuk latihan.
“Ketiga… fokus kepada pelatih-pelatih kepada berisiko tinggi, maka biarlah ia ada logik dan rasionalnya kenapa mereka yang dipilih dari sudut geografinya atau latarbelakangnya.
“Keempat… bukan ‘training’ semata-mata tetapi KPInya berapa orang yang diambil sebagai pekerja. Harap kerajaan jangan heboh berapa orang yang dilatih sebaliknya hebohlah berapa orang yang mendapat peluang pekerjaan dari skim tersebut.”
Ujarnya lagi fokus kumpulan PENJANA ini perlu masuk ke label mikro misalnya berapa banyak dilaksana dan kesan yang dihadapi bagi memastikan ekonomi negara dapat dijana.
Dilaporkan, ekonomi negara termasuk antarabangsa terjejas ekoran penularan COVID-19. Sehubungan itu kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sebelum memperkenalkan PKPB pada 4 Mei lalu bagi melandaikan kes penularan COVID-19 di negara ini.
Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej PENJANA yang menyaksikan 40 inisiatif bertujuan merancakkan semula ekonomi negara dalam jangka pendek membabitkan sejumlah RM35 bilion.
Sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi termasuk PRIHATIN dan PRIHATIN PKS Tambahan berjumlah RM260 bilion. – UMNO Online