JPM, MOSTI Pacu Pembudayaan Sains Dan Agama Dalam Masyarakat- Zulkifli
KUALA LUMPUR, 6 Jun – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bakal mewujudkan kerjasama strategik dalam memacu inovasi bagi pembudayaan sains dalam kalangan masyarakat khususnya umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata empat perkara yang bakal disentuh antaranya ialah penyelidikan fatwa berhubung sains dan teknologi.
“ (Penyelidikan fatwa itu) seperti kecerdikan buatan (AI), pengeditan genom manusia dan lain-lain,” katanya dalam muat naik infografik Twitter yang dikongsi daripada Twitter rasmi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Kerjasama tersebut juga akan mewujudkan pembangunan aplikasi data raya bagi anak kariah masjid di seluruh negara; dan penyelidikan halal seperti rantaian blok bagi pengesanan produk halal dan inovasi penyembelihan lembu.
Turut akan diwujudkan ialah inovasi kursus praperkahwinan dalam talian yang lebih interaktif dan bersifat ‘edutainment’.
Terdahulu Khairy dan Zulkifli mengadakan pertemuan yang menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju mewujudkan jawatankuasa teknikal melibatkan MOSTI dan Jabatan Agama Islam Malaysia bagi memperhalusi cadangan serta langkah-langkah membudayakan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian ummah. – BERNAMA