Beri Laluan Penyandang/Calon BN/UMNO Menang Percuma PRK DN Chini – Wan Rosdy

KUANTAN, 6 Jun – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memohon kerjasama semua pihak khususnya parti-parti politik serta calon Bebas agar memberi laluan kepada penyandang/calon Barisan Nasional (BN)/UMNO untuk menang tanpa bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DN) kawasan Chini.

Ini bermakna, katanya, PRK DN kawasan Chini khususnya tempoh berkempen 14-hari bermula Hari Penamaan Calon pada 20 Jun 2020 sehingga Hari Pengundian pada 4 Julai 2020, tidak perlu diadakan.

“Dengan ini dapat mengelakkan pergerakan serta aktiviti menjelang dan semasa PRK tersebut, yang dibimbangi boleh menyumbang kepada penularan wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara dan dunia sekarang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya yang juga Pengerusi BN Pahang, saranan ini selari dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, sekarang bukan masa sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) di negara ini berikutan keadaan tidak mengizinkan dan tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mengekang penularan wabak pandemik ini.

“Tun Dr Mahathir mungkin lebih menjurus kepada PRU tetapi seharusnya turut meliputi PRK seperti PRK DN kawasan Chini kerana kedua-duanya turut melibatkan pergerakan orangramai, yang boleh mengancam kesihatan awam menerusi jangkitan wabak pandemik ini.

“Saranan ini juga selari dengan kenyataan media oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini yang mengumumkan parti tersebut tidak akan meletakkan calonnya bertanding pada PRK DN kawasan Chini atas alasan serupa.

“Dengan tidak mengadakan PRK DN kawasan Chini ini juga boleh menjimatkan kos yang bakal ditanggung oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kira-kira RM4.3 juta, malah oleh calon-calon serta parti-parti yang bertanding.”

Katanya, oleh kerana kini, BN menjalin kerjasama erat dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), dan PAS sendiri meminta kerusi DN kawasan Chini tidak dipertandingkan; ia akan memberi peluang kepada calon BN/UMNO untuk menang lebih besar lagi.

“Apa yang saya katakan ini tidaklah bermakna BN/UMNO bersikap riak atau takabbur tetapi sekadar menyatakan realiti semasa. Oleh itu, lebih munasabah dan praktikal jika parti-parti lain termasuk calon bebas atau mana-mana calon tajaan, supaya tidak bertanding.

“Saranan ini mungkin dilihat tidak demokratik tetapi inilah penyelesaian terbaik dalam pada negara dan negeri ini masih dibelenggu dengan penularan wabak pandemik COVID-19 yang menggerunkan,” katanya lagi.

PRK ini diadakan susulan pulangnya ke Rahmatullah, Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun lewat malam 6 Mei 2020. Allahyarham ialah Ahli Dewan Negeri (ADN) kawasan ini yang memenanginya pada tiga Pilihan Raya Umum (PRU) lepas iaitu PRU-PRU tahun 2004, 2008, 2013 dan 2018.

Pada PRU-14 tahun 2018, Allahyarham ‘Datuk Burn’ atau juga dikenali ‘Ayah Ngah’ dalam kalangan penduduk; memenangi kerusi DN ini dalam pertandingan tiga (3) penjuru dengan majoriti besar, 4,622 undi.

Allahyarham meraih 10,027 undi berbanding calon PAS ketika itu, memperolehi 5,405 undi. Seorang lagi calon dari PKR cuma mendapat 1,065 undi lalu hilang wang pertaruhan (kerana gagal mendapat minimum 1/8 daripada jumlah undian). – UMNO Online