PENJANA: RM9 Bilion Untuk Tangani Masalah Pengangguran, Pengekalan Pekerjaan Rakyat – PM

PUTRAJAYA, 5 Jun – Sebanyak RM9 bilion akan diperuntuk kerajaan bagi menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat dan memastikan pengekalan pekerjaan rakyat dalam negara dalam tempoh pemulihan semula ekonomi negara, ekoran wabak COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dijangkakan peruntukan berkenaan, yang akan disalur melalui beberapa insiatif, akan dapat memanfaatkan seramai tiga juta tenaga kerja dalam negara.

“Saya tahu ramai dalam kalangan masyarakat yang bimbang akan risiko kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan berikutan banyak sektor dan aktiviti ekonomi terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.

“Saya faham ekonomi akan mengambil masa untuk pulih dan terdapat golongan masyarakat yang masih perlukan bantuan sepanjang pemulihan ekonomi,” katanya ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen, hari ini.

Muhyiddin berkata ini termasuk melanjutkan program Subsidi Upah yang diperkenal dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN Tambahan sebelum ini dengan peruntukan tambahan sebanyak RM5 bilion.

Katanya sejak diperkenalkan, program tiga bulan berkenaan telah berjaya menyelamatkan lebih 2.2 juta pekerjaan.

“Bagi membantu syarikat dalam peralihan pembukaan semula ekonomi, kerajaan akan lanjutkan subsidi upah selama tiga bulan lagi. Memandangkan ekonomi telah dibuka secara berperingkat, subsidi ini ditetapkan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja bagi setiap syarikat.

“Bagi pekerja sektor pelancongan dan sektor-sektor tersenarai dalam aktiviti ekonomi terlarang dan diarahkan mengambil cuti tanpa gaji, majikan boleh memohon subsidi upah dengan syarat pekerja itu menerima bayaran subsidi secara langsung,” katanya.

Menurut Perdana menteri, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei lepas, kadar penggangguran dalam negara dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 penggangur untuk keseluruhan tahun ini.

Muhyiddin berkata selain perluasan subsidi upah itu, kerajaan turut memperuntukan RM1.5 bilion bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 300,000 pencari kerja.

Setakat 2 Jun ini, kira-kira 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja.

Bagi meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar semula anak-anak mereka ke taska, kerajaan akan memberi geran kepada pengendali taska untuk mematuhi dan melaksanakan SOP yang ditetapkan.

Kerajaan mengumumkan insentif cukai pendapatan individu untuk yuran yang dibayar kepada taman asuhan dan taman didikan kanak-kanak sehingga RM3,000.

Bagi meringankan lagi bebanan rakyat terutamanya menggunakan pengangkutan awam, kerajaan akan memperkenalkan Program My30 dengan pengguna hanya perlu membayar RM30 sahaja sebulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang mulai 15 Jun hingga hujung tahun ini.

Nasib golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan ibu tunggal turut mendapat perhatian apabila kerajaan bersetuju lebih 300,000 orang layak menerima bantuan one-off RM300 bagi mengurangkan beban mereka dengan bayaran sebelum Hari Raya Aidiladha.

Berita baik untuk mereka yang banyak bergantung kepada internet terutamanya untuk kelangsungan hidup dalam aspek pendidikan dan pekerjaan, kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi akan menyediakan perkhidmatan internet dengan kapasiti 1 gigabyte percuma untuk semua pengguna dari 8 pagi hingga 6 petang setiap hari sehingga akhir tahun ini.

Dalam perkembangan yang sama, katanya PENJANA juga berperanan memperkasakan rakyat dan merangsang ekonomi yang bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’ itu untuk melonjakkan perniagaan.

Kerajaan mengariskan 40 inisiatif dengan peruntukan RM35 bilion bagi mencapai matlamat-matlamat tersebut dengan RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung daripada kerajaan.

Agenda utama dalam memperkasakan rakyat adalah untuk mengatasi kebimbangan rakyat mengenai risiko kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan berikutan banyak aktiviti ekonomi terjejas dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac.

Untuk menangani cabaran kadar pengangguran yang meningkat dan memastikan pengekalan pekerjaan, kerajaan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang akan memanfaatkan tiga juta tenaga pekerja melalui beberapa inisiatif. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.