Institusi Presiden Harus Dipertahan, ‘War Lord’ Dan ‘Power Broker’ Perlu Ditalkinkan
HULU LANGAT, 4 Jun – Naib Ketua UMNO bahagian Hulu Langat, Mohd Halim Wahab berkata, era ‘war lord’ dan ‘power broker’ perlu ditalkinkan untuk UMNO kembalikan susuk sebenar suara rakyat dan suara keramat sebagaimana Malayan Union digagalkan pada 1946 dan Merdeka dicapai pada 1957.
Justeru jelas beliau, dalam keadaaan politik negara yang tidak menentu ini, Perikatan Nasional (PN) perlu disokong dengan niat dan tujuan membela rakyat yang terkesan dengan COVID-19 dan kegawatan ekonomi global dan terasnya adalah memelihara institusi Presiden.
“Jika UMNO tidak stabil maka ia bakal memberi kesan kepada PN, maka institusi Presiden UMNO perlu dibela kerana ia juga tunggak kestabilan negara.
“Peganglah pada pesan orang tua-tua; pemimpin perlu disatukan bukan dipecah belahkan.. bulat air kerana pembentung,
bulat manusia kerana muafakat… faham sesuai benar, seukur bulat segolek,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.
Selain itu, Halim turut berpandangan, cadangan agar Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang kini disandang oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah satu tindakan yang tidak wajar.
“Amalan BN sejak 1974 adalah di mana Presiden UMNO secara automatik akan menyandang Pengerusi BN.
“Percaturan oleh pihak-pihak tertentu ini dilihat sebagai satu percubaan untuk memperkecilkan institusi Presiden UMNO. Terma institusi presiden inipun pernah dibangkitkan oleh Datuk Seri Najib sendiri pada 2016 kepada ahli UMNO, menekankan konsep supaya ahli parti presiden yang memegang jawatan sebagai institusi dan bukannya atas kapasiti individu.
“Sejarah Melayu merekodkan perihal si kitol dan Raja Mendeliar, dua individu yang mengkhianati kesultanan Melayu Melaka sehingga negeri itu jatuh ke tangan Portugis. Adakah kita merestukan bermaharaja lelanya versi moden Si kitol dan Raja Mendeliar yakni para pengkhianat ini?,” ulas beliau lagi. – UMNO ONLINE