Pemandu Mabuk Tak Boleh Dipandang Remeh, Tindakan Holistik Perlu Dibuat

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Norshida Ibrahim berkata dalam senario rakyat Malaysia sedang berusaha gigih untuk memutuskan rantaian halimunan dan menangani pandemik COVID-19, isu pemandu mabuk tidak boleh dipandang remeh kerana ia sudah mula mendatangkan rasa marah dan tidak puas hati di hati rakyat.

Menurut beliau saban hari ada sahaja kes kemalangan jalan raya yang melibatkan pemandu mabuk malah dalam kejadian terbaharu, beberapa anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya nyaris dirempuh kenderaan yang dipandu lelaki dipercayai mabuk, berhampiran Queensbay, Bayan Lepas.

“Sebelum ini, seorang pekerja syarikat kurier maut dilanggar individu di bawah pengaruh alkohol di kilometer 34.2 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur. Pada 22 Mei lalu, seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda secara berbahaya di sebuah tapak perniagaan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menyebabkan lima orang cedera, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

“Pada awal bulan lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda, dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.

“Hari semalam pula, kita dikejutkan pula dengan seorang penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang disyaki pemandunya mabuk dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar,” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Soal beliau, adakah hukuman yang dikenakan terhadap pemandu mabuk itu setimpal dan bagaimana pula pembelaan nasib keluarga mangsa kemalangan tersebut?

“Cuba bayangkan bagaimana nasib keluarga mangsa kemalangan tersebut apabila terputus punca rezeki disebabkan ketua keluarga tempat bergantung telah maut dalam kemalangan tersebut.”

Dalam hal ini, katanya kerajaan perlu bertegas dengan mengharamkan penjualan arak di tempat awam dan pengharaman serta penguatkuasaan undang-undang arak hendaklah bersifat menyeluruh (holistik) seperti jenayah dadah.

“Namun begitu, untuk menyekat gejala ini, kemasukan import arak dari luar negara, pembuatan arak dalam negara, penjualan arak, pengedaran arak mesti dikuat kuasakan secara tegas. Ianya termasuklah kempen pencegahan dan penguatkuasaan pengharaman arak perlu dilakukan secara holistik.

“Penguatkuasaan perlu dibuat bersama pelbagai kementerian, agensi dan pihak yang berkaitan untuk menyekat pengimportan, pengeluaran, penjualan serta larangan minum arak di tempat awam.

“Kita melihat majoriti pemandu mabuk yang melanggar, mencedera dan membunuh orang awam adalah mereka yang meminum arak di tempat awam dan memandu kenderaan setelah selesai meminum arak untuk pulang ke rumah masing-masing. Naratifnya, mereka berada dalam pengaruh alkohol yang tinggi sehingga lupa diri dan seterusnya menyebabkan kemalangan sehingga meragut nyawa insan yang sedang mencari rezeki,” ujarnya.

Ujar beliau lagi itu belum dikira jenayah-jenayah lain yang berpunca dari gejala arak ini.

“Justeru pengharaman lesen-lesen peniaga arak di hotel, premis kelab malam, pusat perjudian atau restoran hiburan, pasaraya dan kedai runcit mesti dibuat juga oleh Majlis Perbandaran atau Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dilakukan segera.

“Kita memahami hakikat bahawa hak orang bukan Islam untuk minum arak tak dinafikan namun mereka mesti mematuhi undang-undang bahawa mereka tak sepatutnya minum arak di tempat awam dan memandu selepas itu.

“Apalah kiranya kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup harmoni dalam satu keluarga besar di Malaysia mencuba sedaya mungkin untuk tidak meminum arak dan anggaplah arak itu seperti dadah yang merosakkan bangsa,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan mengenakan hukuman lebih berat kepada pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol dan hukuman sedia ada kini dilihat tidak mampu menyelesaikan isu ini berikutan semakin hari kes kematian akibat menjadi mangsa pemandu mabuk bertambah.

“Akhir sekali kita perlu ingat bahawa arak adalah bahan minuman yang memabukkan, yang boleh membawa peminum hilang akal, khayal dan hilang kawalan, sama seperti dadah. Kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat.

“Kerajaan perlu bertegas dengan mengambil langkah penguatkuasaan secara holistik dan pencegahan yang berterusan dengan melarang rakyat Malaysia meminum arak di tempat awam.

“Kita perlu sentiasa bersepakat untuk tidak sesekali berkompromi dalam isu yang melibatkan kesejahteraan rakyat dan negara. Ingatkan Arak itu memudaratkan kesihatan dan membahayakan nyawa insan yang tidak berdosa,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.