Segerakan Pindaan Akta Hukuman Lebih Berat Terhadap Pemandu Mabuk – Zahida


KUALA LUMPUR, 1 Jun – Puteri UMNO hari ini mendesak agar pindaan akta hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk penyebab kematian ini disegerakan.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata ini adalah keresahan rakyat yang merasakan keselamatan mereka tidak terjamin walaupun sudah berwaspada di jalan raya.

“Kami mendesak agar pindaan akta hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk penyebab kematian ini disegerakan, jangan hiraukan tekananan pihak tertentu terutamanya agen-agen Dap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujarnya, sedih dan marah, itulah perasaan rakyat apabila satu demi satu kes kematian berpunca daripada pemandu mabuk.

“Ketika bulan Ramadan lepas negara dikejutkan dengan terkorbannya seorang anggota polis, Koperal Safwan yang bertugas dalam sekatan jalan raya bagi kuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Hari ini seorang lagi insan tidak bersalah penghantar makanan berusia 44 tahun maut selepas motosikalnya diseret sejauh 2 km.”

Soalnya, adakah kita sanggup dengar berita kematian seperti ini setiap hari?

“Salam takziah kami ucapkan kepada ahli keluarga Mohamed Zaili Mohamed semoga tabah hadapi ujian kali ini. Al-Fatiha,” ucapnya lagi.

Dilaporkan, dalam kejadian pada kira-kira 1.30 pagi ini, Mohamed Zaili yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya, maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta, dipercayai dipandu lelaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan bahawa hasil ujian saringan menggunakan mesin evedential breath analyzer mendapati nafas suspek mengandungi alkohol melebihi had. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.