Kesan COVID-19, Ketidaktentuan Politik Memburukkan Lagi Keadaan – Shabery

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dibuat demi keselamatan rakyat keseluruhannya agar matlamat memutuskan rantaian virus COVID-19 di negara ini tercapai memberi kesan yang besar.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang memetik laporan Jabatan Statistik berkata sekiranya kadar penganguran 3.5 peratus, bermakna lebih 600 ribu orang tiada pekerjaan di negara ini.

“Harga minyak jatuh. Harga kelapa sawit jatuh. Pelabur asing lari. Pelancongan jatuh dan ketidaktentuan politik memburukan lagi keadaan,” katanya hari ini.

Menurut kajian, jelasnya, walaupun kerajaan menawarkan pelbagai insentif termasuk subsidi gaji kepada pekerja, banyak perusahaan tidak memohon dan memutuskan untuk menutup terus perniagaannya serta tidak sanggup menanggung kerugian yang berterusan.

“Ia mencemaskan. Tak mungkin ada solusi mudah sekiranya kita terus berbalah antara satu sama lain.”

Katanya, hotel, restoran, agen pelancongan dan syarikat-syarikat minyak dan gas ditutup atau menghentikan operasi dengan bas-teksi tiada pelanggan.
“Semua memberi kesan berganda hingga ke akar umbi. Sewaktu PKP pertama bulan Mac dulu, ia seperti dapat cuti dua minggu tapi kini ramai sedar itulah hari terakhir mereka bekerja.
“Rata-rata rakyat Malaysia tidak bersedia dari segi kewangan untuk berhadapan zaman kemelesatan yang berpanjangan.
“Konsep #kitajagakita akan menjadi penyakit baru kalau tidak berhati-hati kerana orang lain tidak boleh bantu kita. Hanya kita menjaga diri kita… penyakit individualisme yang menakutkan,” katanya lagi.

Dilaporkan, setakat 12 tengah hari semalam, terdapat 57 kes positif COVID-19 dicatatkan dan daripada jumlah tersebut 43 adalah kes melibatkan bukan warganegara, 10 kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan hanya empat kes penularan tempatan dalam kalangan warga tempatan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.