Isu Pemandu Mabuk Libatkan Kepentingan Rakyat, Bukan Soal Politik, Perkauman, Agama – Noh

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar menekankan bahawa soal memandu di bawah pengaruh alkohol atau pemandu mabuk adalah melibatkan tentang kepentingan rakyat keseluruhannya tanpa mengambil kira isu kaum, agama dan sebagainya.

Katanya, beliau terpanggil menyuarakan isu tersebut kerana sejak akhir-akhir ini banyak kes melibatkan pemandu mabuk terutamanya di Negeri Selangor.

“Jangan anggap kami Muafakat Nasional iaitu UMNO-PAS bercakap isu ini kononnya dah mulalah nak campur tangan urusan pentadbiran… nak jadi seperti Taliban… sebab kita tahu orang Islam tak boleh minum arak jadi sebab apa orang Islam di Muafakat Nasional nak campur urusan orang minum arak….

“Ini sebenarnya, kita kena ingat peminumnya mungkin bukan Islam tetapi mangsanya bukan sahaja orang bukan Melayu, boleh jadi Cina, boleh jadi India… ini kita perlu ingat sebab pemandu ini tak boleh pilih siapa yang nak dilanggar.

“Sekarang kita bercakap tentang kepentingan rakyat keseluruhannya tanpa mengambil kira tentang kaum dan sebagainya. Saya dah bagi tahu, janganlah pula lepas ini Dap ambil ini sebagai isu politik pula… bantai kami di Selangor dengan berkata belum lagi mentadbir Selangor tetapi nak ambil urusan dengan tak boleh minum arak dan sebagainya. Jangan nak jadikan isu pemandu mabuk ini sebagai isu politik kerana hari ini kita lihat bahawa mangsanya adalah semuanya,” tegasnya.

Beliau berkata demikian menerusi Segmen ‘Hard Truth: Pemandu Mabuk Di Mana Silapnya’ bersama dengan seorang lagi panel iaitu Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook UMNO-Online malam tadi.

Dalam hal ini beliau turut membidas segelintir pihak yang masih mementingkan agenda politik dan kepentingan peribadi berbanding masalah rakyat.

“Lebih baik duduk bincang macam mana nak kenalpasti daripada duduk bincang macam mana nak tumbangkan kerajaan. Yang ini kata ada 129 MP… yang itu pula kata lain… eh… rakyat tengah COVID-19… tolonglah… negara kita pula sedang mendapat pujian dari negara asing… sabar dululah, baru dua bulan saja kerajaan baru ini maka janganlah nak heboh nak tumbangkan kerajaan, baik fikir macam mana nak jaga kepentingan rakyat.

“Dalam keadaan negara kita yang berdepan dengan pelbagai masalah, COVID-19, ekonomi dan macam-macam lagi, baik duduk berbincang bagaimana S.O.P. dari segi mencegah hingga menghukum.”

Katanya, dalam negara berdepan COVID-19 dan kerajaan melaksanakan perintah kawalan dengan pelbagai kekangan untuk keluar, namun masih ada lagi kes-kes pemandu mabuk.

Oleh kerana itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang menyeru demi kepentingan rakyat semua kaum, maka isu pemandu mabuk mestilah diambil berat.

“Insya-Allah saya akan menyokong pindaan akta dalam Parlimen nanti kerana menghalang orang minum arak ini bukan di Malaysia sahaja, di Thailand misalnya ada hari-hari tertentu tidak boleh minum arak iaitu ‘Buddhist Holiday’ tak boleh minum arak.

“Ada negara-negara tertentu ada masa-masa yang dia boleh minum arak… ini kita perlu lihat kerana di Malaysia tidak sedemikian. Satu masa dahulu pernah ada isu lambang arak tak boleh diletak di tempat awam… itu pun jadi kecoh dan dijadikan bahan politik… sentuh saja isu arak maka adalah Dap yang yang akan jadi hero untuk menjuarainya.

“Kerana itu kalau negara-negara lain yang penduduknya bukan beragama Islam pun boleh wujudkan peraturan-peratuiran tertentu misalnya ada hari yang tak boleh minum arak, ada masa-masa yang ditetapkan jadi mengapa kita di Malaysia tidak boleh sedangkan jika dilihat dari sudut Undang-undang antarabangsa ada contoh sedemikian,” ujarnya lagi.

Jelasnya, cadangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan pinda Akta 333 Pengangkutan Jalan Seksyen 44, 45.

“Akta menghukum saja tidak cukup tapi akta mencegah juga perlu, bagaimana nak buat. Saya pernah bangkitkan dalam Parlimen dan tanya, kalau kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu begitu memberikan penekanan melarang merokok di tempat awam dengan terus mengenakan undang-undang baru… saya tidak menolak dan ianya bagus tapi kalau rokok boleh dilarang di tempat umum maka kenapa arak tak boleh?

“Jawapan menteri ketika itu pun tidak meyakinkan saya. Kerajaan perlu buat dua perkara iaitu bukan saja pinda akta pengangkutan jalan tetapi pencegahannya bagaimana.”

Tegasnya, ada tiga peringkat iaitu yang pertama pencegahan, kedua hukuman dan yang ketiga mesti ada pembelaan kepada keluarga mangsa.

“Kalau nak pinda jangan hanya libatkan satu akta, buat betul-betul melibatkan daripada pencegahan, hukuman yang berat dan jalan bagaimana nak membantu mangsa. Ini yang perlu difikirkan dan bukan hanya nak cepat bawa ke Parlimen saja.

“Kuasa mesti diselaraskan semula, stategi lautan biru dengan melibatkan semua pihak dan biarlah undang-undang yang nak dipinda memberikan kesan. Kalau setakat denda… ada yang anggap apalah sangat, maka undang-undang mestilah mandatori. Kalau pengedar dadah boleh gantung sampai mati untuk elakkan orang lain jadi mangsa maka mesti ada hukuman mandatori juga untuk ini.”

Selari dengan Noh, Dr Ahmad Yunus juga menegaskan bahawa mengangkat isu pemandu mabuk ini juga soal maqasid syariah iaitu untuk menjaga nyawa rakyat tidak kira Melayu, Cina atau India kerana isunya adalah kepentingan rakyat.

“Kita bukan nak menghalang untuk orang minum tapi ada had dan kawalannya. Jalan yang terbaik untuk mencegah dan jika menjadi hukuman kepada yang melakukan maka biarlah hukuman itu menjadi pengajaran bukan saja kepada pelaku tetapi juga kepada orang lain dan perlu juga keadilan kepada waris-waris mangsa.”

Dalam kesempatan tersebut beliau turut membidas tentang pandangan untuk menutup sekolah tahfiz sekiranya mahu haramkan arak.

“Saya tidak tahu apa kaitan sekolah tahfiz dan peminum arak… saya melihat dalam Islam adalah untuk menjaga nyawa dan tidak kira apa juga kaum. Ini ‘political view’ yang cukup besar… kita ada Akta Dadah tapi kenapa tidak ada akta arak? Di mana pandangan politik yang harus diambil oleh kepimpinan untuk melihat kepentingan rakyat sejagat, bukan soal Islam atau soal kaum,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.