Tumpu Agenda Bela Rakyat… Cukuplah Berpolitik Memanjang – Annuar

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata parti telah membuat pendirian menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ciapnya di Twitter miliknya, fokus kerajaan kini adalah agenda membela rakyat.

“Cukuplah berpolitik memanjang,” tegasnya.

Kata Annuar yang juga Setiausaha Agung 1 Muafakat Nasional, apapun rakaman atau versi pemberitaan yang berlaku dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu atau sebelumnya tidak menjadi masalah kepada UMNO, BN dan Muafakat Nasional.

“Itu hal ehwal dalaman parti tersebut,” ujarnya lagi.

Terdahulu, dalam twitnya itu juga, Menteri Wilayah Persekutuan itu memberi komitmen akan berusaha membantu peniaga-peniaga kecil untuk dibenarkan kembali beroperasi.

“Kilang besar, gedung besar, ‘megamall’ semua sudah boleh berniaga tapi penjaja kecil, pasar terbuka, pasar harian masih tak dibenar. Mereka yang kesusahan. Berbulan tanpa pendapatan.

“Saya akan ikhtiar agar mereka boleh segera berniaga. Namun perlu S.O.P. dan ‘new normal’… Kita sama-sama muafakat,” tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.