Pertahankan Keabsahan Kuasa DUN Dan Mahkamah Syariah – Jamil Khir

ALOR SETAR, 31 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berpandangan semua pihak yang berkaitan perlu berganding bahu menjaga kehormatan dan keluhuran Undang-Undang Syariah mengenai bidangkuasa Jenayah Mahkamah Syariah yang telah diwarisi sejak zaman kerajaan Melayu Melaka.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama dan hal ehwal undang-undang serta Jabatan Peguam Negara yang diketuai personaliti berkredibiliti tinggi, perlulah bergerak segera secara bersama dalam mempertahankan keabsahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor khususnya dan DUN seluruh Malaysia amnya dalam menggubal undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah.

“Adalah menjadi proses biasa Perlembagaan di bawah klausa hak asasi, bagi mana-mana pihak membawa kes mereka ke mahkamah untuk mendapat pertimbangan hukum. Demikianlah juga dengan permohonan mencabar kuasa DUN Selangor yang meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang memperuntukan kuasa menghukum pesalah seks luar tabi’e, oleh seorang pesalah syariah yang diwakili peguam Surendra Ananth.

“Sekali pandang ia kelihatan biasa sahaja, namun dua kali pandang, dan apalagi jika dilihat secara mendalam tentang implikasinya, sudah tentu isu ini boleh meremang bulu roma.

“Membenarkan cabaran dibuat di Mahkamah Persekutuan, bukanlah bermakna, persetujuan telah diberikan bahawa badan perundangan negeri tidak berbidangkuasa menggubal dan meluluskan Undang-undang Kesalahan Syariah, namun kebenaran mencabar yang diberikan itu telah memberi maksud di segi merit, kes tersebut memang berhak dicabar,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, tanpa sedikitpun maksud meragui keilmuan para hakim Mahkamah Tertinggi negara itu, andaikata hujah pemohon ketika pembentangan kesnya nanti logik dan berasas, tentu sukar untuk mahkamah tidak membenarkan cabaran pemohon berkenaan.

“Bayangkan implikasinya jika hujah-hujah pencabaran itu menarik dan berasas, dan keputusan mengatakan DUN Selangor tidak mempunyai kuasa meluluskan perkara kesalahan seks di luar tabi’e kerana kuasa penalti bagi kesalahan berkenaan terletak di bawah kuasa ‘Federal’, maka Mahkamah Syariah Selangor tidak mempunyai kuasa menghukum pesalah sedemikian.

“Jika Mahkamah Syariah Selangor tidak mempunyai kuasa menghukum kerana Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah Syariah Selangor tidak sah, maka berdasarkan prinsip duluan mengikat, semua Undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah yang diluluskan DUN seluruh Malaysia juga batal dan tidak sah,” tambahnya lagi.

Tegasnya, jika hal tersebut terjadi, maka suatu tamparan dahsyat telah singgah di muka para pejuang Rang Undang-undang (RUU) 355 yang berusaha mempertingkat kuasa menghukum oleh Mahkamah Jenayah Syariah.

“Ini pasti sekali menjadi suatu pukulan maut kepada Perikatan Nasional yang kini telah menjadi kerajaan.

“Semoga keutamaan mempertahankan kuasa DUN dan kuasa Mahkamah Syariah, mengatasi kekalutan mempertahankan diri dan COVID-19, diberkati Allah.

“Jangan juga kita terperangkap isu COVID-19 sehingga Mahkamah Syariah terhina,” gesanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.