PRK DUN Chini Tidak Perlu Diadakan Demi Mengekang Penularan Wabak COVID-19

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Presiden Persatuan Pengamal Undang-Undang Generasi Felda Malaysia (PUGFM) Mohd Rosidi Hassan menyarankan agar tidak perlu ada pertandingan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dna biarlah DUN tersebut diwakili oleh calon UMNO sehingga tempoh penggal berakhir.

Jelas beliau, ini kerana negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan sekiranya pilihan raya tetap diadakan, dibimbangi wabak ini gagal dikekang dengan baik.

“Keputusan Pilihanraya umum lepas bagi DUN Chini juga menunjukkan bahawa sokongan pengundi kepada Parti UMNO yang diwakili Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun mendapat majoriti yang besar berbanding parti lawan. Jika diambilkira kewujudan Muafakat Nasional pada masa kini, sudah tentu kita dapat mengagak parti manakah yang menjadi pilihan para pengundi DUN Chini buat masa ini.

“Kita sedar bahawa Perkara 22(1) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang mengesahkan sesuatu kerusi Dewan Negeri akan menjadi kosong disebabkan oleh kematian ADUN tersebut. Kita juga akur bahawa Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya perlu diadakan PRK dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berlaku dan kekosongan ini secara congaknya adalah melebihi tempoh dua tahun sebelum berakhir tempoh penggal pilihan raya umum yang lalu.

“Namun begitu, dalam usaha kita secara bersama untuk menangani penularan wabak COVID-19 yang kini merupakan satu ancaman serius kepada dunia di mana Malaysia juga tidak terkecuali menjadi sasaran penyebaran wabak ini, maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kita untuk menyelamatkan nyawa berbanding tuntutan-tuntutan dan kehendak-kehendak yang lain. Ini selaras dengan Maqosid Syariah yang dituntut Islam supaya menjaga nyawa dan keselamatan diri,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Rosidi, tidak perlu lagi dihurai apakah Wabak COVID-19 ini kerana bukan segelintir orang yang terkesan dengan penularannya malah seluruh dunia tidak kira jantina, tidak kira usia, pangkat atau bangsa semuanya terjejas teruk disebabkan oleh wabak dasyat ini.

“Ramai yang kehilangan sumber pendapatan, ramai yang menganggur dan paling menyedihkan ialah mereka yang kehilangan anggota keluarga dan insan tersayang disebabkan oleh serangan wabak ini.

“Jadi, adakah saranan kami ini berlawanan dengan semangat demokrasi? Kita tidak menidakkan tuntutan demokrasi bahkan kita sangat menyanjung tinggi amalan demokrasi di negara ini. Namun jika sekiranya SPR mempunyai satu kaedah lain pada masa akan datang yang dibenarkan secara undang-undang untuk menjalankan pilihan raya secara atas talian misalnya maka kami amat menyokong usaha ini supaya diangkat amalan demokrasi ini ketempat yang selayaknya.

“Namun, buat masa ini adalah lebih baik untuk tidak ada pertandingan bagi mengelakkan bencana yang lebih buruk kepada rakyat dan negara. Marilah kita sama-sama putuskan rantaian COVID-19 secara bersungguh-sungguh dan bersepadu. Insya Allah kita akan menang,” ujar beliau.

Untuk rekod, Pada 15 Mei yang lalu, Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun telah mengumumkan PRK Dun Chini akan diadakan pada tarikh 4 Julai 2020.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi manakala calon PKR Mohamad Razali Ithnain mendapat 1,065 undi.

Abu Bakar yang ketika itu memperoleh 10,027 undi merupakan penyandang kerusi DUN tersebut sejak PRU ke-11, pada 2004.

DUN Chini, yang satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.