Mahathir… Apa Lagi Yang Tak Cukup? – Razlan

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Mahathir… apa lagi yang tak cukup?”. Itu persoalan yang dilontarkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia Datuk Mohd Razlan Rafii kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelas beliau, tindakan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang berhasrat menggulingkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh menggugat kestabilan kerajaan, mewujudkan pergaduhan dan pertelingkahan di antara pemimpin politik.

“Semalam Tun telah membuat satu sidang media di mana beliau secara jelas mengingatkan akan mengambil tindakan memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden PPBM malah pada 7 May lalu, Tun juga telah menghantar notis usul kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

“Kedua–dua tindakan Tun ini adalah tidak lain dan tidak bukan dilakukan demi kepentingan politik beliau sendiri. Beliau nampaknya tidak boleh menerima kenyataan bahawa beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri setelah meletakkan jawatan pada 24 Februari 2020. Tun sendiri meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri tanpa dipaksa oleh mana–mana pihak.

“Bukan itu sahaja, pada 24 Februari lalu, Tun juga telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PPBM. Dengan perletakan jawatan tersebut, beliau secara automatik hanya bergelar seorang ahli Parlimen tanpa jawatan di dalam kerajaan mahupun parti. Ini merupakan satu fakta yang sahih, benar dan jelas serta dilaporkan di semua medium media di negara ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Tambah Razlan, apa yang peliknya kini Tun seperti manusia yang sudah hilang pedoman sedangkan segala tindakan beliau itu bukanlah dipaksa oleh mana-mana pihak.

“Beliau dengan sedaya upaya mahu menggulingkan Perdana Menteri dan memecat Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden PPBM. Adakah menggulingkan Perdana Menteri dan memecat Muhyiddin sebagai Pengerusi parti merupakan satu tindakan yang boleh memberi manfaat kepada rakyat? Sudah tentunya tidak. Mereka yang untung atas tindakan Tun ini adalah tetap anak–anaknya juga, kroni serta parti DAP & PKR.

“Lagipula, bagaimana Tun mahu memecat Muhyiddin sedangkan Tun bukan lagi Pengerusi parti itu? Tun sudah meletak jawatan,” bidas beliau.

Mengulas lebih lanjut, Razlan berkata, Tun harus sedar bahawa politik negara ini tidak hanya berkisar tentang kelangsungan perjalanan politik serta kepentingan anak dan kroni–kroni beliau sahaja.

“Di kala negara dilanda pandemik COVID–19, ketidakstabilan ekonomi, kejatuhan harga minyak serta kes pengangguran yang semakin meningkat, kerajaan harus terus fokus menyelamatkan serta memperbaiki keadaan ekonomi negara. Kita tidak ada masa sebenarnya untuk bermain politik seperti yang dilakukan oleh Tun dan kuncu-kuncunya.

“Walaupun dengan peralihan sokongan 4-5 orang Ahli Parlimen PPBM kepada pasukan Tun, ianya tidak akan menjamin beliau akan menjadi Perdana Menteri semula. Beliau harus sedar bahawa selepas tersebarnya klip audio mesyuarat PPBM di mana Tun dengan jelas mengatakan bahawa beliau tidak suka Anwar Ibrahim dan Dap, itu adalah isyarat jelas Tun tidak ikhlas bersama-sama PKR dan Dap.

“Mereka mungkin boleh duduk semeja dan senyum mengangkat tangan tapi adakah PKR dan Dap tidak bersedia sekiranya mereka merasa bakal ditipu buat kali ke berapa oleh Tun M dan melantik dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri ke-9? Sudah tentu tidak sama sekali. Malah sekarang, Tun juga bukan lagi Ketua Pembangkang tetapi Anwar Ibrahim,” jelas beliau.

Justeru ujar Razlan, Tun harus peka akan nasib rakyat di negara ini yang kini berada di dalam ketidaktentuan pendapatan. Kerajaan Perikatan Nasional sedang berusaha membantu rakyat dan juga menangani wabak COVID–19, maka biarlah kerajaan yang ada berkhidmat untuk rakyat.

“Sebelum ini Tun pernah berkata bahawa beliau sayang akan negara ini dan mahu lihat negara ini stabil dari segi ekonomi dan politik, maka inilah masa dan ketikanya Tun duduk diam-diam dan bantu kerajaan sedia ada.

“Rakyat telah sedar bahawa tujuan tersirat Tun adalah cuba mewujudkan keadaan kucar-kacir dan melaga-lagakan semua lawannya dan akhirnya beliau akan mendapat keuntungan tersebut. Disebabkan keadaan politik yang tidak keruan dan akhirnya akan menyebabkan ekonomi negara kembali merudum dan malah boleh jadi lebih teruk. Perkara ini sudah tentu tidak menguntungkan rakyat dan pelaburan asing.

“Sudah–sudahlah Tun… anda sudah menjadi Perdana Menteri hampir 24 tahun. Anak–anak anda sudah bergelar jutawan dan keluarga anda juga hidup senang. Apa lagi yang tidak cukup? Khidmat anda sudah tidak diperlukan lagi. Negara ini bernama Malaysia bukannya Mahathir, maka jangan peralatkan negara seperti milik peribadi,” tegas Razlan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.