PKPB: Warga Asing Pemegang Visa, Pas Lawatan Sosial Tamat Tempoh Tidak Diambil Tindakan

PUTRAJAYA, 28 Mei – Pemegang visa atau pas lawatan sosial dalam kalangan warga asing yang telah tamat tempoh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga kini tidak akan diambil tindakan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata mereka mempunyai dua pilihan iaitu apabila tiba di lapangan terbang hanya perlu menunjukkan tiket penerbangan untuk pulang ke negara asal.

“Seperti kita tahu bahawa PKP fasa satu dan dua, pejabat imigresen di seluruh negara ditutup dan ingin saya tegaskan mereka tidak akan diambil tindakan (jika visa atau pas lawatan sosial tamat tempoh).

Pilihan kedua, jika mereka ingin menetap lama di negara ini walaupun visa atau pas lawatan mereka telah tamat tempoh, mereka hanya perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui Sistem Temujanji Online (STO) di laman web rasmi Jabatan Imigresen untuk memohon tarikh temu janji,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri mengingatkan STO adalah untuk sistem temu janji memohon tarikh dan bukan untuk memperbaharui visa atau pas lawatan sosial mereka.

“Permohonan STO adalah untuk menetapkan tarikh temu janji supaya pihak imigresen boleh pilih tarikh untuk mereka datang dan terus memperbaharui visa serta boleh pulang ke tanah air mereka pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata 4,399 pendatang tanpa izin yang berada di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, DTI Semenyih serta DTI Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, selesai menjalani saringan COVID-19, dan daripada jumlah itu 13 pendatang tanpa izin di DTI Semenyih masih menunggu keputusan.

“Selain itu, turut disaring 353 pegawai dan kakitangan depot tahanan tersebut dengan seorang kakitangan DTI Semenyih didapati positif COVID-19,” katanya.

Beliau berkata Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, MAEPS, Serdang telah mula beroperasi bagi merawat pendatang tanpa izin yang didapati positif COVID-19.

Ismail Sabri berkata sehingga semalam, 354 pendatang tanpa izin iaitu 305 di DTI Bukit Jalil, DTI Semenyih (45) dan DTI KLIA (empat) sedang menerima rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan itu.

Ismail Sabri berkata pendatang tanpa izin yang telah menjalani saringan COVID-19 dan disahkan negatif akan dihantar pulang ke negara masing-masing,

Beliau turut berterima kasih kepada tiga negara iaitu Indonesia, Nepal dan Bangladesh yang bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menghantar pulang rakyat mereka.

“Kementerian Luar akan berbincang dengan rakan sejawat di tiga negara tersebut bagi urusan penghantaran pulang.

Wisma Putra juga telah menghantar nota kepada semua kedutaan melibatkan rakyat mereka yang berada di depot tahanan imigresen,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.