COVID-19: Malaysia Catat Kes Baharu Terendah Dengan 10 Kes Sejak PKP, Tiada Kematian – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 28 Mei – Jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini mencatat angka paling rendah dengan 10 kes, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lepas, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif terkini 7,629 kes.

Lebih menggembirakan hari ini juga sekali lagi tiada kes kematian dicatatkan seperti sejak seminggu lepas dan jumlah kumulatif maut kekal pada 115.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 86 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 6,169 kes atau 80.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Setakat dilaporkan hari ini, hanya lapan kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan empat daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata, semua kes baharu itu adalah penularan tempatan dengan lima kes daripadanya melibatkan bukan warga Malaysia dan tiada kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

Mengulas perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lepas, Dr Noor Hisham menjelaskan trend penularan COVID-19 dalam kalangan masyarakat setempat semakin berkurangan.

“Hampir sebulan penguatkuasaan PKPB di negara kita, didapati jumlah kes positif dari 4 Mei sehingga semalam adalah 1,189 kes dengan kes melibatkan warga Malaysia hanya 22.7 peratus (270 kes), manakala 77.3 peratus (919 kes) pula melibatkan kes bukan warganegara termasuk 383 kes warga asing di tiga Depot Tahanan Imigresen.

“Pencapaian ini tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama dan kepatuhan orang ramai kepada nasihat, saranan dan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan, serta juga aktiviti penguatkuasaan oleh pelbagai agensi kerajaan.

“Justeru, KKM ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pelbagai industri dan orang ramai kerana sudi memikul beban bersama kerajaan demi kepentingan komuniti dan negara. Jika usaha ini diteruskan, pastinya kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata orang awam boleh menggunakan fungsi ‘Hotspot Tracker’ melalui aplikasi MySejahtera bagi membantu rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan aktiviti harian termasuk merancang perjalanan harian dan mengenal pasti kawasan berisiko di mana kes COVID-19 dilaporkan.

“Fungsi ini dapat membantu rakyat mengenal pasti sekiranya terdapat kes-kes yang dilaporkan dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan yang dicari dalam tempoh 28 hari.

“…oleh itu, fungsi ini boleh dijadikan panduan kepada setiap pengguna dalam membuat keputusan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menggalakkan orang ramai supaya memuat turun aplikasi itu untuk menggunakan fungsi-fungsi penting, termasuk penilaian kendiri kesihatan serta maklumat terkini daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) KKM.

Bagaimanapun, beliau berkata rakyat disarankan mengelakkan perjalanan tidak perlu ke kawasan-kawasan yang mempunyai risiko jangkitan COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.