Gubal Akta, Cari Kaedah Holistik Kawal Penjualan Dan Pengambilan Minuman Keras – Asyraf

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Pemuda UMNO hari ini memberikan beberapa cadangan termasuk langkah jangka pendek serta jangka panjang berhubung isu pemandu mabuk sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam yang makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sebagai langkah jangka pendek dan segera, pergerakan itu mendesak agar cadangan pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sebagaimana yang dibangkitkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong, dibawa sebagai salah satu usul utama selepas Usul Menjunjung Kasih Titah DiRaja dalam Sidang Parlimen yang dijadualkan bermula pada 13 Julai.

“Seksyen 44(1) A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) memperuntukkan bahawa pesalah di kalangan pemandu mabuk jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 3 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan didenda tidak kurang daripada RM8,000 dan tidak lebih dari RM20,000.

“Walaupun hukuman di bawah Akta 333 ini telah dipinda seperti di atas pada tahun 1999, namun perkembangan mutakhir jelas menunjukkan ia tidak sedikitpun menggerunkan pemandu mabuk bahkan dianggap ringan dan tidak setimpal dengan kehilangan nyawa dan tempat bergantung yang dialami oleh kaum keluarga mangsa,” katanya kepada UMNO-Online, di sini hari ini.

Tambah Asyraf lagi untuk langkah jangka panjang pula, sudah tiba masanya pihak kerajaan menangani isu ini secara holistik termasuklah mengisi kelompongan perundangan dengan memperkenalkan akta dalam mengawal selia dengan tegas aspek penjualan dan pengambilan minuman keras di peringkat Persekutuan.

Jelasnya ketiadaan undang-undang khusus diperingkat Persekutuan untuk mengawal selia penjualan dan pengambilan minuman keras, melainkan undang-undang oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pasti menyulitkan penguatkuasaan dan pencegahan yang menyeluruh dan seragam.

“Pengalaman negara lain termasuklah larangan pengambilan minuman keras selepas jam 10.30 malam seperti di beberapa negara maju termasuk Singapura boleh dijadikan contoh dalam mengawal gejala ini.

“Justeru, Pemuda UMNO mencadangkan agar satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada beberapa Kementerian yang berkaitan seperti MOT, KDN, KPDNK, KPKT, KKM dan Kerajaan-Kerajaan Negeri untuk menilai seterusnya menggubal undang-undang baru bagi mengawal selia penjualan dan pengambilan minuman keras.

“Ini termasuklah menggandakan program kesedaran dan pendidikan mengenai pengambilan minuman keras yang boleh memudaratkan diri dan masyarakat di negara ini,” ujarnya.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.