Segera Pinda Akta Pengangkutan Jalan, Dakwa ‘Kaki Mabuk’ Di Bawah Kanun Keseksaan – Razlan
KUALA LUMPUR, 26 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Rafii percaya ramai rakyat bersetuju agar pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) segera dilakukan bagi mendakwa ‘kaki mabuk’ sebagai kesalahan jenayah membunuh di bawah kanun keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati.
Tegasnya, ianya harus dilakukan secepat mungkin kerana nampaknya kes-kes pemandu yang memandu secara mabuk sekaligus menyebabkan kemalangan maut terus meningkat.
“Saya juga ingin memohon kepada pihak pengurusan serta bijak pandai syarikat operator jalan dan lebuhraya supaya melihat balik operasi mereka. Ini kerana, kebanyakan kes kemalangan maut juga melibatkan pemandu mabuk yang melawan arus.
“Oleh yang demikian, pihak operator lebuhraya harus memastikan jalan-jalan di bawah seliaan mereka diubahsuai, dipertingkatkan atau diperbaiki taraf keselamatan bagi mengelakkan kereta-kereta berjaya dipandu melawan arus sekaligus membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” tambahnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Razlan berkata demikian mengulas mengenai mutakhir ini kerap terbaca dan mendengar berita kemalangan maut di jalan raya yang berpunca daripada pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol, malahan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sahaja sudah terdapat beberapa kes kemalangan maut yang berpunca dari pemandu yang mabuk.
“Saya berpendapat, kini sudah tiba masanya kerajaan memperketat dan menambahbaik hukuman sedia ada terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian ini.
“Hukuman lebih berat dan setimpal wajar dikenakan kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol meskipun pertama kali melakukan kesalahan,” kata Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh itu lagi.
Seterusnya, Razlan menyambut baik kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di mana beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Pengangkutan sedia meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya yang lain.
“Akhir sekali, harapan saya adalah supaya kerajaan tegas dan pantas dalam meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya yang lain.
“Jangan kita membuang masa kerana lagi lambat Akta 333 dipinda, saya khuatir lagi banyak kes kemalangan maut akan berlaku akibat dari tindakan tidak bertanggungjawab ‘kaki mabuk’ di negara ini,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE