Kluster Baharu Dikesan Di Tapak Pembinaan Dengan 44 Kes

PUTRAJAYA, 25 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kluster baharu di tapak pembinaan di Kuala Lumpur dengan 44 kes dilaporkan hari ini.

Tanpa memberikan maklumat lanjut berkenaan kluster itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menggesa syarikat pembinaan supaya memberi perhatian bukan sahaja kepada prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja tetapi juga kepada penempatan pekerja.

“Daripada kajian kami (KKM) besar kemungkinan pekerja asing yang bekerja duduk di tempat tertutup atau ruangan sempit. Itu menjadi faktor utama jangkitan menular dalam kalangan mereka,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata walaupun SOP di tapak pembinaan ada, tetapi syarikat pembinaan hanya menumpukan kepada tempat bekerja sahaja.

“Apa yang penting lihat kepada penempatan mereka (pekerja) iaitu rumah dan cara mereka duduk. Contohnya di Masjid India, satu flat yang kecil ada 30 orang tinggal bersama,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata syarikat pembinaan harus melihat kepada faktor lain selain mematuhi SOP kerana ruangan sempit adalah antara penyebab virus berjangkit.

“Kami (KKM) percaya ruang sempit adalah satu faktor penting perlu perhalusi dan lihat bagaimana boleh laksanakan penjarakan sosial. Hari ini kita tidak ada vaksin, tetapi ‘vaksin’ yang ada ialah penjarakan selamat,” katanya.

Mengenai sama ada Malaysia sedia melibatkan diri dalam kajian vaksin oleh Thailand, Dr Noor Hisham berkata KKM bersedia untuk menjalankan kajian bersama dengan negara lain.

Menurutnya, delegasi dari China ketika lawatan baru-baru ini ada memaklumkan bahawa negara itu sedang menjalankan kajian fasa kedua dan laporan dijangka pada November atau Disember nanti sama ada vaksin dijalankan ke atas haiwan berkesan sebelum dapat melaksanakan fasa ketiga iaitu ke atas manusia.

“Kami (KKM) belum dapat laporan untuk kajian yang perlu dilaksanakan kepada manusia, sekarang hanya ke atas haiwan. Kalau mereka kenal pasti vaksin tersebut berjaya dijalankan ke atas haiwan dan boleh diguna pakai untuk manusia, KKM akan cuba mendapatkan kerjasama dari negara berkenaan untuk menjalankan kajian bersama,” katanya.

Dilaporkan Thailand baru-baru ini memulakan percubaan vaksin COVID-19 terhadap monyet selepas ujian ke atas tikus menunjukkan keputusan positif.

Pengarah Institut Vaksin Kebangsaan Nakorn Premsri dilaporkan berkata jika ujian ke atas monyet juga memberikan keputusan positif, percubaan terhadap manusia dapat dijalankan menjelang penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

Sementara itu, ditanya kebimbangan pertambahan sisa klinikal susulan pandemik COVID-19, Dr Noor Hisham berkata setakat ini tiada masalah dari segi pengurusan sisa klinikal kerana ia dilakukan mengikut garis panduan.

Jelasnya setiap hospital dan klinik kesihatan akan mengurus sisa klinikal dan seterusnya gunakan khidmat luar pengurusan sokongan di KKM. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.