Raya Tidak Sama, Namun Hidup Mesti Diteruskan

AIDILFITRI ini sangat berbeza. Tidak pernah berlaku begini. Amat asing. Macam berada di sebuah planet yang lain. Tiada balik kampung, anak cucu tidak lagi berlarian di halaman yang luas bermain bunga api, tidak dapat ziarah pusara emak dan ayah, tidak boleh merentas negeri, solat di rumah sendiri, tiada jemputan rumah terbuka, seumpama terkurung zahir dan batin❗️

Namun hidup mesti diteruskan dalam apa juga suasana dan keadaan. Untuk apa ditangiskan tidak dapat bersama keluarga di kampung? Bukankah kita tidak dapat bersama mereka demi keselamatan kesihatan kita semua? Inilah suatu pengorbanan kecil untuk sementara waktu hingga perang terhadap #COVID19 ini kita menangi.

Syukur sepanjang Ramadan walau kita tidak bertarawih di surau dan masjid; bapa, ayah, abah dan menantu dapat menjadi imam solat berjemaah, imamkan solat terawih dan ada pula yang menjadi bilal. Banyak surah-surah pendek yang telah dihafal disamping doa dalam Bahasa Melayu yang mudah difahami oleh para makmum yang disayangi.

Ayuh kita terus cuba meriahkan dengan apa yang ada hari Raya ini. Hantarkan kiriman ucapan samada dalam bentuk tulisan atau video atau infografik kepada kumpulan whatsapp, telegram, twitter, facebook, instagram dan saluran media sosial yang lain. Ayuh bersama suami, isteri, anak, cucu, menantu yang berdekatan untuk meraikannya.

Cuba buka youtube dan cari koleksi lagu Raya terbaik sepanjang zaman. Cuba elakkan dengar lagu Balik Kampung, oleh Allahyarham Sudirman sebab ada yang kata lagu itu “berunsur hasutan”. Dengarlah lagu Sudirman juga tapi yang berjudul Dari Jauh Ku Pohon Maaf❗️

Saya nukilkan empat rangkap pantun original ciptaan sendiri sempena Raya ini:

Bersama rakan, setiap hari,
Senang sepakat, susah ditampung;
Ayuh meriahkan, Aidilfitri,
Walau tak dapat balik kampung.

Senang sepakat, susah ditampung,
Bayarlah zakat, tuntutan agama;
Walau tak dapat, balik kampung,
Keluarga terdekat, tetap bersama.

Warna emas, sinar mentari,
Redup cahaya, bertudung satin,
Disusun kemas, sepuluh jari;
Maafkan saya, zahir dan batin.

Redup cahaya, bertudung satin,
Mencari sumur, jumpa telaga;
Maafkan saya, zahir dan batin,
Panjang umur, bertemu juga.

Banyak yang kita tidak dapat perolehi dalam hidup ini. Panjang senarainya. Jika itu yang kita fikirkan, hidup akan dipenuhi dengan kekecewaan. Apa kata senaraikan yang telah dan sedang kita perolehi. Tentu panjang juga senarainya. Maka kita akan menjadi insan yang bersyukur terhadap apa yang Allah limpahkan.

Selamat Hari Raya semua. Maaf zahir dan batin. Teruskan hidup seadanya. Lepas ini kita bangkit kembali. Dengan penuh tekad dan pengalaman baru, Insya-Allah kita sebagai sebuah keluarga dan negara akan menempa kejayaan demi kejayaan❗️

Ahmad bin Maslan,
30 Ramadan 1441H / 23 Mei 2020

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.