Langgar Larangan Rentas Negeri, Adakah Kerana Teruja Sambut Aidilfitri?

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Menjelang sambutan Aidilfitri esok, terdapat segelintir pihak yang masih tidak berputus asa mencuba nasib melakukan perjalanan rentas negeri menghala ke kampung halaman masing-masing.

Sukar difahami kenapa masih berlakunya pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) walaupun peringatan demi peringatan oleh pihak berkuasa agar tiada pergerakan rentas negeri dilakukan bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan pada Khamis sahaja, sebanyak 2,539 kenderaan cuba merentas negeri di arah berpatah balik kerana tidak mempunyai kebenaran, malah menggunakan pelbagai alasan remeh.

Pada sidang media harian mengenai PKPB semalam, Ismail Sabri mendedahkan Melaka mencatatkan cubaan rentas negeri tertinggi iaitu 886 kes diikuti Perak (362 kes) dan Pulau Pinang (284 kes) walaupun kerajaan sebelum ini mengumumkan tiada lagi kebenaran diberikan.

Selain itu, Ismail Sabri turut menegaskan bahawa kelonggaran kepada pasangan suami isteri yang tinggal berjauhan untuk melakukan perjalanan rentas negeri seminggu sekali terbatal selari dengan pengumuman kerajaan yang tidak lagi membenarkan perjalanan sedemikian dilakukan atas apa jua alasan kecuali kematian atau kecemasan.

Katanya Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Khamis (20 Mei) memutuskan tiada lagi kebenaran perjalanan rentas negeri diberikan susulan kedegilan orang ramai yang mahu pulang ke kampung untuk berhari raya walaupun negara masih melaksanakan PKPB.

Kerajaan yang sebelum ini masih berlembut bagi memastikan rakyat negara ini dapat menyambut Aidilfitri, mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) antaranya ziarah hanya pada hari pertama dengan kehadiran tidak lebih 20 orang dalam kalangan keluarga terdekat dalam tempoh sehari, tiada rumah terbuka serta tiada bersalam-salaman.

Kerajaan juga memutuskan bermalam turut dikira melanggar SOP yang dikeluarkan kerajaan bagi aktiviti ziarah-menziarahi sempena sambutan Aidilfitri.

Kesemua SOP itu antara usaha memutuskan rantaian COVID-19 sejak tiga bulan lepas, selain mengelak wujud kluster baharu iaitu kluster balik kampung.

Justeru itu, disebabkan kedegilan segelintir rakyat, kerajaan mengambil keputusan memperketatkan hukuman iaitu mereka yang ingkar bukan saja akan diarah berpatah balik, tetapi dikompaun sebanyak RM1,000 di sekatan jalan raya dan ia perlu dibayar dalam tempoh dua minggu daripada tarikh dikeluarkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut melahirkan kebimbangan terhadap situasi itu berdasarkan pengalaman di luar negara yang menyaksikan kes COVID-19 meningkat secara mendadak apabila rakyat mereka pulang ke kampung semasa perayaan.

“Jadi setiap rakyat Malaysia kena patuh SOP, pastikan mereka kurangkan atau elakkan sama sekali kunjung-mengunjung dan lakukan penjarakan sosial serta kerap mencuci tangan walaupun bersama ahli keluarga kerana kalau mereka patuh kita boleh kekalkan kes positif kepada dua digit,” katanya pada sidang media harian COVID-19 semalam.

Dr Noor Hisham berkata PKPB yang dilaksanakan kerajaan sekarang adalah cekap kos serta dapat mengawal kes.

Katanya sambutan Aidilfitri tahun ini pastinya berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini, namun tidak bermakna ia tidak dapat diraikan dengan semangat yang sama.

Menurutnya, sebulan berpuasa pada bulan Ramadan ketika penularan wabak COVID-19 telah mengajar erti sebenar kesabaran dan pengorbanan.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.