Negara Lalui Kelaziman Baharu Urus Ancaman Kesihatan Akibat COVID-19

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Malaysia sedang berada dalam fasa penyesuaian yang memerlukan kelaziman baharu terbaik bagi mengurus ancaman kesihatan fizikal dan mental akibat impak pandemik COVID-19, kata seorang bekas pesakit COVID-19.

Muhammad Ridzuan Ahmad Kamil yang juga ahli seumur hidup Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) berkata, kadar peratusan pesakit yang sembuh melebihi 80 peratus membuktikan majoriti pesakit COVID-19 yang dirawat di hospital dan pusat kuarantin kerajaan telah menunjukkan kejayaan berdaya tahan serta berjuang mengatasi masalah berkenaan.

Katanya, daya tahan bagi normal baharu juga memerlukan set tingkah laku yang baharu.

Menurutnya, ia dimulakan secara dalaman dari aspek peningkatan biologikal seperti menu makanan yang berkhasiat dan menjalankan senaman ringan di hospital bagi mengurus tekanan.

Malahan, tambahnya, adalah wajar bagi pesakit berjuang melawan dengan membentuk satu jangkaan baharu seperti berniat mendapatkan bentuk badan lebih baik bagi meningkatkan motivasi diri.

“Sebagai kaunselor, saya telah menggunakan pendekatan psikologi dengan mengurus kognitif dan afektif saya secara sentiasa bersangka baik dan membentuk pemikiran yang rasional berdasarkan sistem kepercayaan yang jelas.

“Saya juga terus meyakini bahawa ia bertujuan menguatkan daya tahan saya secara fizikal dan mental atau dalaman dan tidak menyalahkan kepada ketentuan,” katanya dalam sesi advokasi awam bertajuk ‘Daya Tahan Dalam Menghadapi Norma Baharu COVID-19’ yang disiarkan melalui laman Facebook PERKAMA International.

Dari aspek sosial pula, katanya, individu positif COVID-19 boleh mendapatkan nasihat dan bimbingan sama ada dari segi kesihatan, keagamaan atau mendapatkan sokongan sosial daripada mereka yang terdekat.

“Saya mendapatkan pandangan daripada pegawai kesihatan, nasihat daripada ustaz untuk mententeramkan jiwa, menghubungi keluarga dan rakan-rakan yang ternyata berjaya memberi kekuatan luar biasa kepada saya. Hampir setiap hari saya membuat panggilan video kepada isteri dan anak saya sepanjang saya berada di hospital. Ia seolah-olah satu terapi diri.

“Keyakinan diri kepada Allah telah meningkatkan imuniti saya secara mengamalkan solat berjemaah, membaca al-Quran, berzikir dan selawat yang bersesuaian serta amalan qiamullail sepanjang saya berada di hospital,” katanya yang kini sedang mengikuti pengajian sarjana kaunseling di sebuah universiti awam tempatan.

Ridzuan yang didapati positif COVID-19 pada 28 Mac lepas, kini telah pulih sepenuhnya setelah mendapat rawatan selama 38 hari di hospital dan pusat kuarantin. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.