Kluster Baharu COVID-19 Dikesan Di Depot Tahanan Imigresen, Bukit Jalil

PUTRAJAYA, 21 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu membabitkan warga asing di Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Memperincikan kluster baharu itu, beliau berkata sehingga tengah hari ini seramai 645 orang telah disampel secara keseluruhan dengan 35 daripadanya disahkan positif COVID-19.

Katanya, kesemua 35 kes positif itu membabitkan 17 warga Myanmar; 15 (India), dan masing-masing seorang warga Sri Lanka, Bangladesh dan Mesir.

“Daripada jumlah keseluruhan, 400 kes adalah negatif manakala 210 orang masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

“Pelbagai aktiviti pencegahan dan kawalan telahpun dijalankan misalnya, aktiviti nyahkuman, pendidikan kesihatan seperti penjagaan kebersihan diri, kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta penekanan mengenai penjarakan sosial,” katanya pada sidang media harian mengenai COVID-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan ke semua pusat depot tahanan secara berjadual. yang diberikan oleh pasukan kesihatan dari klinik kesihatan terdekat.

“Anggota pasukan kesihatan terdiri daripada pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan, jururawat terlatih dan jururawat masyarakat.

“Antara perkhidmatan itu seperti rawatan penyakit ringan,rawatan awal kecemasan, pemeriksaan kesihatan ibu hamil, kesihatan bayi dan kanak-kanak termasuk suntikan imunisasi berdasarkan jadual imunisasi kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata kes memerlukan rawatan pesakit dalam dan kes kecemasan seperti ibu yang bakal bersalin akan dirujuk ke hospital kerajaan yang berdekatan dan kesemua perkhidmatan itu tidak dikenakan sebarang caj Fi.

Tegas Dr Noor Hisham, bagi memastikan kes jangkitan COVID-19 dapat dikesan sepenuhnya, KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah meneruskan tindakan lanjut menerusi pendekatan tertumpu.

“Siasatan, pengesanan kontak rapat, penilaian risiko dilakukan pihak yang berkaitan manakala saringan gejala dan persampelan untuk mengesan kes, dibuat secara aktif.

“Bagi kes positif, (pesakit) akan diisolasi dan dirawat di hospital. Kontak rapat pula akan diletakkan di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak COVID-19 di bawah Seksyen 15(1) Akta 342 (Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya.

KKM akan terus bekerjasama dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain agensi kerajaan bagi pengurusan kes COVID-19 yang melibatkan Depot Tahanan Imigresen.

Sementara itu ditanya mengapa kluster Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil baru dapat dikesan walaupun pendatang tanpa izin itu ditahan sebelum pelaksanaan PKP, Dr Noor Hisham berkata buat masa ini, KKM masih menjalankan siasatan bagi mengesan punca penularan COVID-19 dalam kalangan tahanan itu.

“Kita perlu menyiasat dengan lebih mendalam…kami tidak pasti, mungkin ia daripada pekerja atau petugas di bahagian dapur,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.