COVID-19: 50 Kes Baharu, 90 Pulih, Tiada Kematian – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 21 Mei – Sebanyak 50 kes baharu positif COVID-19 dicatat hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 7,059 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,149 kes, menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 50 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 47 kes adalah penularan tempatan.

“Bagi 47 kes penularan tempatan itu, 41 kes melibatkan bukan warga Malaysia dengan 34 kes dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“Mereka ini telah berada dalam tahanan sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat 90 kes pulih daripada COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan discaj daripada wad adalah sebanyak 5,796 kes (82.1 peratus).

Katanya, bilangan kes pulih adalah hampir dua kali ganda kes baharu yang dilaporkan.

Dalam pada itu, beliau, berkata tiada kes kematian direkodkan hari ini sekali gus menjadikan kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 114 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, terdapat 10 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau sekali lagi menasihatkan orang ramai supaya mengambil tanggungjawab sosial dalam memerangi wabak COVID-19 di Malaysia dengan kekal patuh kepada S.O.P. yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM).

“S ialah syarat seperti ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat manakala O (orang yang berisiko tinggi yang perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera melakukan pemeriksaan kesihatan) serta P (penjarakan sosial),” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga diingatkan supaya mengelakkan 3S / 3C iaitu kawasan yang sesak, sempit dan elakkan bersembang atau bertutur dengan jarak yang dekat.

Tambahnya, masyarakat juga dinasihatkan mengamalkan 3W (basuh tangan, memakai penutup hidung dan mulut di tempat awam jika bergejala dan mematuhi amaran KKM yang berkonsep peringatan.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.