17 Kes Positif COVID- 19 Hari Ini, Kedua Terendah Sejak PKP – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 16 Mei – Sebanyak 17 kes positif COVID-19 dicatat hari ini, yang merupakan angka kedua terendah sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, enam adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 11 merupakan penularan tempatan yang melibatkan lima warga asing.

“Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 6,872 dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,247 kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Beliau berkata sebanyak 73 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang sembuh sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 dan discaj dari wad ialah 5,512 orang.

Katanya terdapat 13 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, lima memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan satu kematian akibat COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian di Malaysia sebanyak 113 kes.

“Kes kematian ke-113 (kes ke-6856) merupakan wanita warganegara Malaysia berumur 53 tahun. Beliau mempunyai sejarah penyakit barah dan darah tinggi. Beliau merupakan seorang kakitangan perubatan KKM di Sabah (namun bercuti sakit disebabkan barah).

“Beliau dimasukkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas pada 5 Mei 2020 disebabkan kesihatan beliau yang semakin merosot. Beliau didapati positif COVID-19 dan disahkan meninggal dunia pada 7 Mei 2020 jam 1.30 petang,” katanya.

Beliau juga berkata selain warga emas, kanak-kanak dan bayi merupakan kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 maka golongan itu perlu dilindungi agar mereka tidak mudah terdedah dan dijangkiti wabak tersebut.

“Sehingga 16 Mei (hari ini), terdapat 317 kes positif COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Daripada jumlah itu, 112 kes (35 peratus) adalah kanak-kanak berumur empat tahun dan ke bawah, dan 22 kes (7 peratus) adalah bayi kurang dari 1 tahun,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini, tiada kes kematian positif COVID-19 dicatatkan dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun.

Selangor mencatat bilangan kes positif COVID-19 tertinggi dalam kalangan kanak-kanak bawah 12 tahun iaitu 77 kes diikuti Negeri Sembilan (48), Johor (46), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (28) serta Sabah (26).

Beliau juga berkata setakat ini, tiada penyakit Kawasaki dijumpai dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata kanak-kanak mendapat jangkitan COVID-19 daripada orang dewasa yang berada di sekeliling mereka.

“Kita kena pastikan pulang sahaja ke rumah, jangan sentuh kanak-kanak dulu, mandi atau cuci tangan atau gunakan pensanitasi tangan sebab kita terdedah kepada virus yang ada dalam masyarakat. KKM juga bimbang semasa musim perayaan, kita mungkin membawa virus pulang ke kampung dan menjangkiti golongan yang berisiko,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata adalah penting bagi masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan KKM seperti mengamalkan jarak sosial, cuci tangan, elakkan perhimpunan awam dan patuh kepada 3C (tempat sesak, tempat tertutup dan bercakap jarak dekat).

“Ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga yang lebih tua memainkan peranan penting dalam memberi pendidikan berkaitan kebersihan diri kepada kanak-kanak agar mereka dapat mengamalkan tahap kebersihan tinggi, sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun serta sangat digalakkan memakai penutup hidung dan mulut di kawasan umum,” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.