SPR Perkenal SOP Khas PRK DUN Chini Bagi Cegah Penularan COVID-19

PUTRAJAYA, 15 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi urusan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, yang akan diadakan pada 4 Julai ini berikutan pandemik COVID-19.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata antara yang dicadangkan ialah dengan mengehadkan jumlah maksimum pengundi di setiap saluran kepada 400 pengundi berbanding 600 orang sebelum ini.

Beliau berkata SPR bersama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat isu berhubung SOP khas itu.

“Kita tidak mahu selepas PRK ini, ada kluster SPR atau kluster PRK N23 (Chini). Jadi kita ambil inisiatif untuk melaksanakan langkah-langkah yang bersesuaian bagi mencegah merebaknya wabak COVID-19 semasa perjalanan PRK ini, ” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat bagi membincangkan urusan PRK DUN Chini di sini hari ini.

Azhar berkata perbincangan melalui libat urus itu antaranya mengenai bagaimana untuk merendahkan risiko merebaknya COVID-19 semasa perjalanan PRK dalam penyediaan SOP khas itu.

Beliau berkata SPR juga akan menambah maklumat baharu dalam kad pengundi (VC) iaitu ‘masa keluar mengundi yang digalakkan’ bagi memastikan SOP pematuhan jarakan sosial dapat dipraktikkan di samping dapat mengurangkan kesesakan di pusat dan saluran mengundi.

Bagi peraturan berkempen, Azhar berkata SPR akan berpandukan SOP dan peraturan yang dikuatkuasakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) atau PKP Diperketatkan (PKPD).

“Diandaikan perintah sekarang (PKPB) dikuatkuasakan, maka ceramah tidak dapat dibenarkan, maka cuma berkempen melalui media massa, banting dan poster, dan unit kempen bergerak sahaja. Ia bergantung kepada jenis PKP berkuat kuasa ketika itu. Kita akan pantau dan memuktamadkan keputusan pada tarikh yang terdekat,” katanya.

“SPR akan memastikan sebarang bentuk aktiviti yang boleh dilaksanakan (bagi urusan kempen pilihan raya) adalah selari dengan arahan kerajaan yang berkuat kuasa pada waktu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata SPR juga bersetuju menubuhkan pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya yang dianggotai oleh wakil daripada polis, pihak berkuasa tempatan dan wakil calon yang bertanding untuk memantau semua aktiviti kempen PRK sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Ditanya jika terdapat pengundi yang disyaki positif COVID-19 atau bergejala pada hari mengundi, Azhar berkata antara yang dicadangkan ialah individu berkenaan dibawa terus ke khemah khas dan diasingkan daripada pengundi lain serta akan diuruskan oleh petugas SPR yang memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada input dari pihak KKM, NADMA, MKN dan PDRM. Ini diandaikan bahawa PKP atau PKPB masih berkuat kuasa ketika itu.

“Kita belum tahu lagi, tapi akan memantau perkara ini dari semasa ke semasa. Ini kerana banyak perkara yang perlu dilihat, kalau dibenarkan mengundi di hospital atau secara pos bagaimana nak urus kertas undi,” katanya.

Ditanya sama ada pusat mengundi akan melalui proses sanitasi terlebih dahulu, Azhar berkata ia masih dalam perancangan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.