Jual Penutup Hidung Dan Mulut Melebihi Harga Pasaran Satu Kesalahan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 14 Mei – Pengusaha premis perniagaan boleh dikenakan tindakan tegas jika didapati menjual penutup hidung dan mulut melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh kerajaan, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini berikutan terdapat laporan yang menyatakan ada pusat beli-belah di Kelantan yang mengenakan bayaran sebanyak RM10 bagi lima keping penutup hidung dan mulut selain melarang pelanggan memasuki premis jualan sekiranya tidak membeli kemudahan terbabit.

Beliau berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan harga siling bagi penutup hidung dan mulut dengan harga RM1.50 sekeping.

“Kalau mereka jual lebih daripada harga siling maka kedai itu telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Jadi mereka boleh diambil tindakan oleh KPDNHEP. Jadi saya harap KPDNHEP ambil maklum tentang perkara ini agar tindakan segera boleh diambil,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir pasar raya cuba mengambil kesempatan terhadap orang ramai dengan memaksa mereka membeli penutup hidung dan mulut pada harga yang tinggi sebelum memasuki premis mereka.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri menjelaskan pegawai atau anggota yang telah tamat latihan tidak kira dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diminta tidak risau mengenai tarikh atau upacara tamat latihan mereka.

Beliau berkata mereka tetap akan ditamatkan latihan pada tarikh yang ditetapkan namun ketika ini hanya penyampaian sijil dan upacara tamat latihan sahaja tidak dibenarkan berlangsung.

“Ini berikutan ia tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

“Jangan risau, mereka telah disahkan (perkhidmatan) cuma upacaranya tidak boleh diadakan. Sijil-sijil telah ditandatangani oleh saya dan Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), cuma upacaranya kita ‘hold’ (tangguh) dahulu sehingga selesai COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata isu dakwaan daripada anggota polis mengatakan mereka lewat menerima pembayaran elaun penugasan COVID-19 sebanyak RM200 sebulan akan diserahkan kepada PDRM.

“Mengenai elaun mereka (PDRM), saya serahkan kepada PDRM untuk selesaikannya,” katanya ringkas.

Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador telah mengarahkan Jabatan Pengurusan Bukit Aman memudahkan SOP untuk bayaran elaun RM200 kepada barisan hadapan dapat disegerakan.

Selain itu, beliau juga sudah mengarahkan Jabatan Pengurusan Bukit Aman memeriksa, mengkaji isu berkaitan perkara itu selepas mendengar masalah proses pembayaran itu sejak dua minggu lalu.– BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.