Hasni Seru Adun Terima Nasihat Sultan Johor Ganding Bahu Bantu Rakyat Berhadapan Covid-19

ISKANDAR PUTERI, 14 Mei – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor diseru menerima nasihat Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya berganding bahu membantu rakyat yang sedang susah berhadapan dengan wabak COVID-19.
Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata sebagai wakil rakyat, para ADUN Johor diharap akan dapat menterjemahkan virus perpecahan yang disifatkan sebagai lebih serius berbanding COVID-19, supaya ia menjadi peringatan untuk mereka memikul amanah dan tanggungjawab berkhidmat kepada masyarakat.

“Pada pagi ini, saya ingin menegaskan bahawa pihak wakil rakyat menunjukkan rasa setuju dan mengambil serius titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Ibrahim).

“Kita amat menzahirkan rasa syukur atas titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku kerana sesungguhnya saya percaya dan yakin bahawa wakil-wakil rakyat kerajaan mahu pun pembangkang akan terus berpegang kepada cara Johor.

“Yang akan mengelak daripada berkonfrontasi dan juga bersengketa sebagai budaya dan cara kita berada di dalam Dewan. Mendahului kekitaan dan tidak mementingkan diri sendiri adalah sebahagian besar daripada ciri-ciri dan cara Johor dalam kita melaksanakan tanggungjawab kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan penggal persidangan ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 oleh Sultan Ibrahim di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Hasni berkata beliau percaya dan yakin bahawa para ADUN kerajaan memandang penting titah Sultan Ibrahim agar dijunjung kerana kerajaan mahu rakyat mempunyai kerja yang tetap.

Terdahulu, pada pembukaan persidangan berkenaan pagi tadi, Sultan Ibrahim menitahkan semua ADUN Johor harus berganding bahu untuk membantu rakyat yang sedang susah berhadapan dengan wabak COVID-19.
Baginda bertitah sekarang bukan masa untuk para ADUN bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi kerana tindakan sebegitu akan melahirkan satu virus yang lebih berbahaya iaitu virus perpecahan.

“Virus (virus perpecahan) ini nampaknya telah pun menular dalam kalangan pemimpin politik apabila berlakunya pergolakan dan perebutan kuasa yang merunsingkan rakyat serta menggugat kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negara.

“Mereka yang dijangkiti virus ini akan lupa diri dan tidak akan pedulikan tentang kepentingan rakyat asalkan mereka dapat apa yang dikejar untuk kepentingan diri sendiri,” titah baginda.– BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.