Pasukan Pematuhan Pantau Pusat Membeli-Belah – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 13 Mei – Pasukan Petugas Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan digerakkan dengan lebih kerap di pusat membeli-belah dan pasar raya yang mengadakan jualan murah atau promosi tertentu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran SOP yang mungkin menyebabkan jangkitan COVID-19 berlaku semasa proses jualan dijalankan.

Beliau berkata pelanggan yang datang ke premis tersebut juga perlulah berdisiplin dan patuh kepada SOP itu untuk menjaga kepentingan kesihatan mereka sendiri.

“Apabila kita benarkan premis perniagaan dibuka kita benarkan dengan syarat-syarat tertentu. Di dalam SOP itu, penjarakan sosial dan juga jumlah pelanggan yang dibenarkan masuk pada satu masa juga telah ditetapkan.

“Pelanggaran SOP ini boleh menyebabkan kita mengarahkan mereka (peniaga) untuk menutup perniagaan mereka sekiranya mereka gagal (patuh),” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata semalam Pasukan Petugas Operasi Pematuhan telah membuat 70,237 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.

Beliau berkata kadar pematuhan PKPB di seluruh negara adalah pada 95 peratus.

“Negeri Pahang, Melaka dan Pulau Pinang mencatatkan kadar pematuhan yang tertinggi iaitu 98 peratus manakala kadar pematuhan negeri paling rendah adalah 86 peratus,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.